18 Oktober 2011

Pasukan MALBATT 4 berlepas ke Lubnan

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ANGGOTA Malbatt 4 melambai tangan ketika menaiki kapal terbang, sementara gambar kecil, suasana sedih menyelubungi sebahagian ahli keluarga di Pangkalan Udara TUDM Subang, semalam.

SUBANG: Seramai 325 pegawai dan anggota tentera Batalion Malaysia ke-4 (MALBATT 4) berlepas ke Lubnan, petang semalam, untuk menyertai misi Pasukan Tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Pasukan itu terdiri daripada 41 pegawai dan 284 anggota lain-lain pangkat, termasuk 12 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan menjalankan tugas pengaman di negara berkenaan selama setahun.

Kumpulan diketuai Kolonel Badrul Hisham Muhammad berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang jam 1 petang.

Hadir mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Ahmad Nawawi serta ahli keluarga mereka.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata Malbatt 4 membawa bersama harapan besar negara dan ATM ke perantauan.

“Pembabitan ATM dalam misi itu membawa dua matlamat, iaitu membuktikan tanggungjawab moral berterusan negara terhadap aspirasi keamanan sejagat, selain mencerminkan keupayaan ATM dalam sebarang operasi tidak kira tempat dan masa.

“Pembabitan ini juga menyokong matlamat strategik ATM ke arah menjadi ketumbukan tempur spektrum yang berupaya menonjolkan kesan sinergi dalam memberi maklum balas di darat, laut dan udara,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ahmad Hasbullah.

MALBATT 4 menggantikan MALBATT 3 yang dijadualkan tiba di sini jam 8 pagi ini.

berita harian/-

Tiada ulasan: