18 Oktober 2011

Himpun: Pakatan tunggu keputusan PAS

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Pakatan Rakyat akan menunggu keputusan mesyuarat PAS malam ini sebelum membuat pendirian berhubung Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang akan diadakan 22 Oktober ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar berkata, mereka juga sedang mengumpul maklumat dari beberapa pihak berkenaan apa sebanrnya tujuan himpunan tersebut.

"Kita serah kepada kebijaksanaan PAS yang akan bermesyuarat malam ini.

"Kita sedang kumpul maklumat...adakah penglibatan pihak-pihak tertentu sama ada terlibat dengan Umno atau tidak," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan pendirian Pakatan Rakyat berhubung Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bertujuan menentang sebarang gerakan Kristianisasi terhadap orang Islam, yang dijadualkan Sabtu ini di Stadium Shah Alam.

"Kita juga tanya pandangan Abim, Wadah dan rakan-rakan yang lain..kita akan beri keputusan selepas PAS buat keputusan malam ini," kata Ketua Pembangkang itu.

Turut serta pada sidang media itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Agenda politik murahan

Tuan Guru Abdul Hadi pula menegaskan, mesyuarat PAS malam ini akan mengambil kira sejauh mana 'agenda politik murahan' pihak tertentu berselindung di sebalik himpunan ini sebelum parti itu membuat ketetapan.

"Isu ini dibangkitkan bila nak pilihan raya. Kita akan melihat sejauh mana agenda politik murahan ada dalam himpunan ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata PAS tidak mahu program yang diatur itu lari dari landasan sebenar dan hanya mahu digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

"Kita tak mahu program yang diatur lari dari landasan sebenar iaitu mempertahan akidah.

"Sepatutnya yang bertanggungjawab mempertahan akidah umat Islam ini adalah Umno, kerana mereka sudah memerintah lebih 50 tahun," katanya.

Sementara itu, Lajnah Politik PAS Pusat akan bermesyuarat malam ini bagi memutuskan pendirian PAS sama ada mahu menyertai atau tidak dalam himpunan tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu mungkin dapat diketahui sekitar jam 11.00 malam ini.

Ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, keputusan itu nanti dipatuhi semua organisasi PAS.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: