02 November 2011

70 lintasan haram dikesan

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

POLIS menjalankan siasatan di sekitar kawasan kemalangan yang membabitkan kereta api dan lori tangki di Kilometer 5, Jalan Kota Kinabalu-Putatan, kelmarin.
Pemaju, penduduk enggan guna laluan alternatif disedia JKNS

KOTA KINABALU: Sebanyak 70 lintasan haram dikesan di sepanjang landasan kereta api dari Tanjung Aru di sini ke Beaufort, termasuk lintasan haram di Kilometer 5, Jalan Kota Kinabalu-Putatan, iaitu lokasi kereta api dinaiki 200 penumpang merempuh sebuah lori tangki yang menyebabkan letupan kuat dan mencederakan 12 penumpang, petang kelmarin.

Lintasan itu dipercayai dibina pemaju perumahan dan penduduk kampung yang dipercayai enggan menggunakan laluan alternatif disediakan Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS).

Lintasan itu amat berbahaya kepada pemandu kenderaan yang melintasi landasan berkenaan berikutan ketiadaan pintu bagi menghalang kenderaan berkenaan melintasi landasan setiap kali kereta api melalui kawasan itu, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko dirempuh kereta api.

Pengurus Besar JKNS, Mohd Zain Mohd Said yang membuat pendedahan itu di sini, semalam, berkata JKNS tidak mampu meletakkan kakitangan bagi menghalang pemandu kenderaan atau pejalan kaki melintasi semua lintasan haram kerana lintasan itu sudah sebati sebagai laluan utama penduduk taman perumahan dan kampung.

“Mereka melintas atas risiko sendiri. Kami tidak bertanggungjawab jika mereka dirempuh kereta api. Hanya lintasan sah yang kami bina yang ada pintu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Terdahulu, beliau menemani Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman melawat tempat kejadian. Turut serta Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir.
Bagaimanapun, Mohd Zain berjanji akan mengambil tindakan tegas, termasuk kemungkinan menutup semua 70 laluan haram bagi mengelak kejadian sama itu berulang.

“Kami akan menutup lintasan haram di tempat kejadian ini selepas kepala kereta api dan gerabak pertama yang hangus diangkat ke bengkel JKNS di Tanjung Aru," katanya.

Beliau berkata, kepala kereta api dan tiga gerabak yang terbabit dalam kejadian kelmarin baru dibeli dari China pada kos RM16 juta dengan setiap gerabak mampu memuatkan 87 penumpang.

Perkhidmatan kereta api itu disambung semula Februari lalu selepas dihentikan selama lima tahun berikutan kerja menaik taraf landasan.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, dua penumpang wanita patah kaki, manakala sembilan yang lain cedera ringan. Ketika kejadian, kira-kira 200 penumpang, kebanyakannya kakitangan kerajaan yang baru pulang kerja dalam perjalanan dari Stesen Kereta Api Tanjung Aru ke Stesen Kereta Api Beaufort.

Bagaimanapun, semua mereka terselamat apabila kereta api itu merempuh sebuah lori tangki bermuatan 27,000 liter petrol yang menyebabkan letupan kuat menggegarkan kawasan sekitar Petagas dengan asap tebal boleh dilihat dari jarak kira-kira lima kilometer (km).

Sementara itu, Sukarti berkata kerajaan negeri sedang menunggu laporan lengkap daripada JKNS, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dalam kenyataannya di sini semalam, berkata pihak berkuasa harus meningkatkan usaha memastikan keselamatan di lintasan kereta api bagi menjamin kejadian sama tidak berulang.

berita harian/-

Tiada ulasan: