02 November 2011

Tidak guna mesin sejak dibeli

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara 2010, mendedahkan lima unit mesin autoklaf bernilai RM65,000 yang dibekalkan di klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di beberapa daerah tidak dipasang dalam tempoh ditetapkan.

Antara klinik LPPKN terlibat adalah di Dungun, Ampang, Klang, Bentong dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Laporan itu menyebut, kelewatan pemasangan autoklaf telah menyebabkan peralatan tidak dapat digunakan dan telah luput jaminan.

“Pada pandangan Audit, LPPKN perlu menyegerakan pemasangan mesin autoklaf di lima klinik tersebut, supaya perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas,” katanya.
Mesin autoklaf digunakan untuk menghapuskan kuman pada peralatan perubatan di klinik LPPKN.

Laporan juga mendedahkan lawatan Audit pada bulan November dan Disember 2010, mendapati enam daripada 39 mesin autoklaf bernilai RM78,000 yang telah dibekalkan bagi tahun 2007 hingga 2008 di klinik LPPKN Tanjung Malim, Bidor, Kampar, Taiping, Mentakab dan Kuala Terengganu telah digunakan dalam tahun 2010 sebelum mendapat sijil pentauliahan.

“LPPKN hendaklah memastikan mesin autoklaf mempunyai sijil pentauliahan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja bagi menjamin keselamatan pekerja yang menggunakan peralatan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, 31 jenis pe-ralatan perubatan tidak digunakan di Klinik LPPKN antaranya di Kampar seperti alat pembuka mulut, Sri Manjung seperti katil pemeriksaan, Kuala Terengganu adalah katil gynae dan Klang iaitu dulang besi tahan karat.

Selain itu, semakan Audit mendapati syarikat yang dilantik membekalkan kontraseptif dan ubat rawatan kesuburan bernilai RM1.43 juta tidak dibuat secara berterusan dan mengakibatkan LPPKN Johor dan Pulau Pinang menunjukkan trend permintaan yang tinggi terhadap kontraseptif loette iaitu masing-masing 12.9 peratus dan 11.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaannya pada tahun 2009 tetapi tidak dibekalkan pada tahun 2010.

“Pengagihan kontraseptif tidak ikut keperluan klinik LPPKN menyebabkan stok berlebihan berjumlah RM192,574 telah tamat tarikh luput dan dilupuskan pada 2009 hingga 2010.

“Pelupusan stok melibatkan LPPKN Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Pahang, Kedah, Johor, Melaka, Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, pada keseluruhannya, pengurusan peralatan dan bekalan kontraseptif di LPPKN tidak diuruskan dengan baik dan pihak Audit mengesyorkan LPPKN mengambil tindakan segera untuk menambah baik pe­ngurusan peralatan peruba-tan dan bekalan tersebut.

sinar harian/-

Tiada ulasan: