02 November 2011

Multaqa Pendakwah PAS pada 12 Nov

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat akan mengadakan Multaqa Pendakwah PAS pada 12 November ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, KUIZM, Taman Melewar.

Pegawai Penerangan PAS Pusat, Mohd Shahir berkata, tujuan program itu diadakan ialah untuk menghimpunkan seramai mungkin para dai'e yang telah berada di medan dakwah bagi menyelaraskan tugas dakwah dan tarbiyah kepada masyarakat di samping memahami beberapa isu semasa yang berlaku dalam negara serta mencari kaedah berkesan bagi memenangkan perjuangan Islam di negara ini.

Katanya, beberapa amanat penting dalam ucaptama akan disampaikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bakal membawa tajuk Pendakwah Sebagai Duta PAS pada sebelah pagi yang akan diikuti oleh pembentangan kertas kerja pertama oleh Dr Dzulkefly Ahmad bertajuk Isu-isu Besar Negara.

Kertas Kerja kedua pula akan dibentangkan oleh Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat bertajuk Hudud- Satu Keperluan, seterusnya Konsep Negara Berkebajikan akan dibentangkan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Pusat.

Sehubungan itu, katanya jentera penerangan PAS di semua peringkat perlu menarik seramai mungkin para pendakwah di tempat masing-masing untuk menghadiri program itu.

“Semoga multaqa ini dapat mengeratkan silaturahim dan menjadi medan pertemuan para pendakwah tanah air dari pelbagai tempat dan latar belakang,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan program multaqa itu, bolehlah menghubungi Ustaz Misbahul Munir Masduki, Setiausaha Penerangan PAS Pusat di talian 010-5667528 atau beliau sendiri di talian 019-2153225.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: