10 November 2011

Kerakyatan: JPN jangan beri alasan data pendatang

13 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR,: Wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memperbaharui sistem pilihan raya (PSC) memberi notis kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memberikan data lengkap warga asing yang diberikan hak kerakyatan dalam tempoh tiga tahun ini.

Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, notis awal ini bagi membolehkan SPR membuat persediaan sebelum menghadiri mesyuarat keempat PSC esok.

"Hari ini kita beri notis kepada JPN untuk memberikan data lengkap jumlah warga asing yang didaftarkan sebagai warga negara dari tahun 2008 hingga 2011.

"JPN boleh bersedia dan jangan beri alasan bahawa maklumat tak boleh diberikan esok dan kita harap JPN dapat beri kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Rasah itu juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dipanggil ke mesyuarat jam 11.30 pagi esok bagi membicangkan mengenai prosedur undi pos dan pengundian awal yang dicadangkan kerajaan baru-baru ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, mereka akan mencadangkan kepada PSC agar pengundian pos dan pengundian awal diajalankan di tempat awam, bukan di kem askar atau di balai polis bagi memastikan SPR dapat berkuasa sepenuhnya sewaktu proses membuang undi berlangsung.

"Bagi setiap pilihan raya pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya memberikan kebenaran dan kelulusan sepatutnya SPR. Sebab itu kita dah lama minta SPR diberikan satu kuasa yang lebih supaya dapat melaksanakan pilihan raya dengan telus yang adil.

"Kalau ada pihak lain yang menguruskan pilihan raya, kita bimbang ia tidak telus," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Selain itu, Anthony berkata, mereka akan meminta PSC membuat ketetapan untuk menggesa SPR melaksanakan kaedah dakwat kekal.

Ini katanya bagi mengelakkan SPR memberikan alasan tidak cukup masa untk membeli dakwat kekal apabila ia dipersetujui untuk digunakan.

"Kita mahu SPR beri komitmen yang tegas. SPR kata perlu masa dua bulan untuk beli dakwat kekal. Kalau tak ada keputusan esok kita bimbang kalau kerajaan kata akan guna dakwat kekal SPR beri alasan tak sempat beli dakwat," katanya.

haralkahdaily/-

Tiada ulasan: