10 November 2011

Pakatan jamin tiada kakitangan awam dipecat

13 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Pakatan Rakyat menjelaskan bahawa tiada kakitangan awam akan dipecat jika gabungan itu berkuasa, tetapi sebaliknya tumpuan akan diberikan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

Pada sidang media bersama di Parlimen, semalam, pemimpin Pakatan cuba mengendurkan kebimbangan terhadap lebih 1.2 juta kakitangan awam di negara ini bahawa mereka akan diberhentikan kerja.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (kanan) berkata Pakatan dalam cadangan bajet alternatif hanya menggariskan bahawa perkhidmatan awam akan dijadikan lebih cekap dan tidak menyebut mengenai mengurangkan jumlahnya itu.

"Pakatan Rakyat sedar bahawa campur tangan politik adalah satu faktor mengapa mutu perkhidmatan awam telah terhakis.

"Kedudukan 1.2 juta pegawai dan kakitangan awam adalah terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia di bawab perkara 132: Perkhidmatan-perkhidmatan Awam dan Perkara 135: Sekatan mengenai pembuangan kerja dan penurunan pangkat," katanya.

Sidang akhbar itu diadakan bagi meredakan kebimbangan yang dicetuskan oleh setiausaha publisiti DAP, Tony Pua (kiri) kerana dilaporkan berkata bagi mengurangkan bajet negara, Pakatan akan menamatkan perkhidmatan kakitangan awam yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China.

Kakitangan awam di negara ini telah sekian lama dikritik kerana jumlahnya yang terlalu ramai sedangkan perkhidmatannya dianggap cekap.

Hadir bersama pada sidang akbar ini adalah naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Pendirian itu disokong oleh naib presiden PKR Tian Chua dan pemimpin DAP Liew Chin Tong.

Menurut Salahuddin lagi, akhbar harian Utusan Malaysia yang memanipulasikan kenyataan Pua itu sebagai usaha jahat dan rasis.

"Jelas apa yang dimainkan media Umno BN menjelang pilihan raya umum menjurus ke arah memujudkan kebencian orang Melayu terhadap DAP.

"Sedangkan dalam mana-mana dokumen Pakatan Rakyat tidak pernah sebut mengenai perkara ini," katanya.

Tambahnya, Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 mengiktiraf peranan utama yang dimainkan pegawai dan kakitangan awam dalam merealisasikan dasar yang ditetapkan.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: