06 Disember 2011

Janji bina baru SJKT Menglembu hanya atas angin

10 Muharram 1433H. [MOD] -
Harakahdaily


BATU GAJAH, 6 Dis: “Adakah benar kerajaan sudah menyediakan peruntukan untuk membina bangunan baru untuk SJKT Menglembu?” tanya Adun Tronoh, V Sivakumar.

Jika benar, katanya berapakah wang peruntukan yang telah diluluskan dan bilakah kerajaan akan memulakan kerja-kerja membina bangunan baru sekolah itu.

Katanya, SJKT Menglembu merupakan satu lagi sekolah Tamil yang memerlukan perhatian kerajaan dengan segera.

Sekolah itu, ujarnya mempunyai lebih kurang 304 orang murid pada tahun 2011, tambahan pula ia merupakan satu-satunya sekolah Tamil di Dun Menglembu.

Oleh itu, katanya ibu bapa di kawasan itu tidak ada peluang lain kecuali menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu.

Beliau telah membangkitkan isu sekolah itu dalam persidangan Dewan Negeri Perak pada 24 November lalu.

“Sekolah ini menghadapi pelbagai masalah yang perlu diselesaikan dengan segera. Masalah-masalah sekolah ini telah dibawa kepada perhatian pihak-pihak yang bertanggungjawab tetapi tidak ada sebarang tindakan yang sewajarnya telah diambil setakat ini,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya setiap pemimpin yang melawat sekolah itu hanya berjanji kosong untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Menruutnya, selepas sidang Dun ada pemimpin-pemimpin MIC negeri membuat kenyataan akhbar bahawa mereka telah menyelesaikan masalah sekolah itu.

“Ini tidak benar kerana tidak ada apa-apa bukti bahawa masalah yang dibangkitkan itu telah diselesaikan.

“Saya memberi amaran keras supaya jangan memberi janji kosong semata-mata untuk menipu masyarakat India dan menang pilihanraya,” tegasnya yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak.

Sekolah itu, jelasnya merupakan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan tetapi kerajaan tidak memberi perhatian yang serius untuk menyelesaikan masalah.

Menurutnya lagi, SJKT Menglembu hanya memiliki 6 buah bilik darjah utama untuk menampung 304 orang murid di mana setiap bilik darjah dikongsi untuk digunakan sebagai 2 bilik darjah.

Masalah seperti itu, katanya tidak wujud di sekolah-sekolah kebangsaan kerana mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu.

Katanya lagi, bunyi bising dalam bilik-bilik yang dikongsi itu menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan guru-guru dan murid-murid, tambahan pula bilik komputer dan perpustakaan juga telah dijadikan sebagai bilik darjah untuk menampung keperluan yang terdesak.

Oleh itu, ujarnya perpustakaan dan bilik komputer tidak boleh berfungsi dalam keadaan biasa.

Baginya, ini merupakan satu bukti bahawa sekolah-sekolah Tamil sentiasa dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri.

“Walaupun kerajaan telah menjanjikan untuk membina bangunan baru untuk sekolah ini, tetapi janji itu bagaikan janji di atas angin.

“Pemimpin-pemimpin MIC, seperti biasa berkata, perkara ini ‘masih dalam perhatian dan tindakan kerajaan’. Inilah frasa yang paling digemari oleh pemimpin-pemimpin MIC untuk melarikan diri daripada tanggungjawab,” ujarnya lagi.

Katanya, kerajaan boleh meluluskan peruntukan wang berjuta-juta ringgit untuk sekolah-sekolah kebangsaan tetapi sekolah Tamil Menglembu tidak dipedulikan walaupun masalah itu lama telah dibawa kepada perhatian kerajaan.

“Saya telah menulis surat kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Pelajaran Negeri Perak pada 16 Jun 2011. Tetapi setakat ini tidak ada sebarang maklum balas mengenai hal yang dibangkitkan,” ujarnya.

Justeru, beliau mengharapkan kerajaan akan menggunakan wang peruntukan Kementerian Pelajaran dalam Bajet 2012 untuk membina bangunan baru SJKT Menglembu.

Pada masa ini, pihak Tamil Pallithirvukullu sedang mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan ibu bapa bagi membincangkan masalah yang dihadapi oleh sekolah itu.

“Jika masalah ini tidak diselesaikan segera, maka satu tindakan yang lebih drastik perlu diambil untuk mencubit telinga pemimpin-pemimpin yang pura-pura tidur,” katanya sinis

Tiada ulasan: