06 Disember 2011

Suspek Buat Panggilan Bom Palsu Ditahan

10 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH: Seorang pengedar barangan jualan langsung yang dipercayai membuat panggilan palsu pada Khamis lalu bahawa terdapat bahan letupan di landasan keretapi telah ditahan dua hari lalu.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di Teluk Intan.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan, lelaki berkenaan didapati mengunakan telefon bimbit untuk membuat panggilan tersebut dengan menggunakan identiti orang lain.

Dia dipercayai berbuat demikian kerana mempunyai masalah peribadi dengan teman wanitanya.

"Lelaki terbabit dikatakan tidak membenarkan teman wanitanya yang berusia 25 yang juga bekerja sebagai pengedar barang jualan langsung pergi ke Kuala Lumpur menghadiri satu kursus," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Shukri berkata kecewa dengan sikap teman wanitanya itu, lelaki berkenaan mengambil tindakan dengan membuat panggilan palsu ke Ibupejabat Polis Daerah Tapah mengatakan terdapat sebutir bom di salah satu jambatan di laluan keretapi antara Bidor dan Tanjung Malim.

Akibat panggilan itu, laluan keretapi di sektor utara terpaksa ditutup sehingga menjejaskan perjalanan lebih 1,200 penumpang.

Siasatan polis kemudiannya menemui satu bonggol berhampiran sebuah jambatan di landasan di Km 259.25 berhampiran Slim River.

Bonggol itu diletupkan tetapi tiada bom yang ditemui tetapi hanya sekeping tikar yang dilipat yang mengandungi botol-botol kosong.

Shukri berkata suspek ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.

Katanya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Tiada ulasan: