08 Disember 2011

Masjid: Adun pertikai laporan agensi berita

12 Muharram 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG, 8 Dis: Agak mengejutkan apabila lain yang dicakap lain pula dilaporkan agensi berita milik kerajaan, seperti disiarkan beberapa akhbar utama hari ini.

Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun berkata, ketika berbual dengan wartawan agensi terbabit semalam beliau menceritakan kehebatan Masjid Beijing yang menjadi tumpuan pelancong sekarang.

“Saya sebut masjid tersebut dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri membabitkan kos kira-kira RM9 juta tanpa melibatkan sumbangan pihak lain.

“Itulah satu-satunya masjid dibiayai sepenuhnya kerajaan di kawasan parlimen Rantau Panjang. Manakala masjid lain diberi sumbangan mengikut keperluan.

”Saya tidak sebut Masjid Beijing satu-satunya masjid dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri di Kelantan. Ini sudah jauh menyimpang,” katnya di sini.

Abdul Fatah (gambar) menjelaskan perkara itu ekoran Utusan Malaysia dalam laporan muka hadapan hari ini mendakwa kononnya hanya satu masjid dibina kerajaan PAS sepanjang 20 tahun.

Malah berita sama turut disiarkan beberapa lagi akhbar lain.

Sebelum itu Abdul Fatah hadir pada majlis penyampaian geran tanah kepada 200 penduduk di Kampung Bukit Tandak disampaikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Rantau Panjang meluahkan rasa kesal di atas laporan terbabit yang jelas menyimpang daripada maksud asal.

Difahamkan juga beberapa akhbar milik Umno hari ini cuba mengeksploitasi berita berkenaan dengan mencari pandangan daripada pelbagai pihak bagi menghodohkan kerajaan negeri.

Abdul Fatah berkata, berita seumpama itu tentunya ditertawa orang kerana banyak masjid dibina kerajaan negeri dalam tempoh begitu lama.

Contohnya Masjid Sultan Ismail Petra di Kubang Kerian disiapkan kerajaan sekarang selepas terbengkalai begitu lama di bawah kerajaan dahulu.

Selain itu Masjid Jubli Perak ada di Pulai Chondong, Paloh dan Lojing. Masjid Kota Darulnaim, Masjid Baarah dan banyak lagi.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, laporan dibuat media milik Umno secara jelas semata-mata bagi memburukkan Kelantan dengan berita berbentuk propaganda murahan.

”Konsep yang ditekankan di Kelantan memastikan rakyat juga mengambil bahagian dalam pembinaan masjid, bagi memastikan mereka juga ada saham di akhirat.

”Apa yang lebih penting mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah dan majlis-majlis ilmu,” katanya.

Beliau juga berkata, Lajnah Penerangan PAS Kelantan menerbit risalah khas dikenali sebagai Purnama yang membuatkan pelbagai isu semasa.

Katanya, sebanyak 10,000 naskah dicetak, diterbit setiap Jumaat diberi percuma bagi membolehkan orang ramai mendapat maklumat semasa.

Edisi pertama berada di pasaran minggu lepas. Dan esok pelancarannya akan diadakan di Medan Ilmu disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

harakahdaily/-

1 ulasan:

pasiran berkata...

ni yg aku heran dah tau lidah biawak dok pi berkawan buat apa