08 Disember 2011

Sabah ucap takziah keluarga mangsa serangan gajah

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga pelancong Australia yang maut dirodok seekor gajah di Lahad Datu semalam, serta menasihatkan semua pihak agar tidak menuding jari sesama sendiri berikutan kejadian itu.

"Ini satu kejadian malang yang mengorbankan nyawa seorang wanita muda. Bagi pihak kerajaan Sabah, saya mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan keluarga Jenna Donley," kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Doktor haiwan, Jenna O'Grady Donley, 26, maut dirodok seekor gajah jantan pigmi di Taman Hidupan Liar Tabin kira-kira 8.30 pagi, ketika beliau sedang mengambil gambar haiwan tersebut.

"Saya baru saja dimaklumkan oleh pengurusan Tabin Wildlife Resort, tempat penginapan Jenna, bahawa mereka berusaha membantu keluarga dan Suruhanjaya Tinggi Australia membuat persediaan membawa pulang mayat Jenna untuk dikebumikan di kampung halamannya.

"Saya juga berharap semua pihak agar tidak menuding jari menyalahkan satu sama lain berikutan kejadian itu pada ketika keluarga Jenna sedang bersedih," katanya.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar negeri, Dr Laurentius Ambu, berkata Donley ke taman itu kira-kira jam 7 pagi bersama seorang lagi wanita dan pemandu arah mereka.

Katanya, apabila kumpulan tersebut ternampak gajah itu, Donley dan rakannya dikatakan menghampiri haiwan berkenaan untuk mengambil gambar pada jarak dekat. - BERNAMA

Tiada ulasan: