12 Disember 2011

Rumah ahli PPKM dilontar bom petrol

16 Muharram 1433H. [MOD] -

KULIM - Akibat dipercayai ingin membalas dendam, rumah seorang ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) diserang dengan dua botol bom petrol di Taman Senangin kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Ketika kejadian, mangsa keluar membuat rondaan sebelum menerima panggilan telefon daripada ibunya menyatakan bahagian hadapan rumah mereka terbakar.

Mangsa yang berada kira-kira 500 meter dari rumahnya bergegas balik dan melihat kelibat dua motosikal suspek cuba melarikan diri.

Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim berkata, perbuatan khianat ini berlaku mungkin berpunca daripada rasa tidak puas hati mereka yang ditahan oleh PPKM kerana terlibat dalam pelbagai perlakuan jenayah.

Menurutnya, PPKM akan mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan ini dan menyerahkan kepada polis.

“Kita membantu polis dalam menjalankan tanggungjawab membanteras kejadian jenayah di Kulim dan saya berharap polis dapat melindungi semua ahli PPKM dari sebarang ancaman.

“Sehingga kini, kerjasama PPKM dan polis berjaya menurunkan indeks jenayah di Kulim. Ini menunjukkan PPKM komited dalam melaksanakan tugas pencegahan jenayah,” katanya.

Menurutnya, PPKM telah mengesan tiga nombor pendaftaran motosikal dipercayai digunakan oleh suspek terlibat dan menyerahkannya kepada Ketua Polis Daerah Kulim.

“Mereka yang melakukan perbuatan itu harus sedar, keahlian PPKM sudah melebihi 2,000 ahli. PPKM akan pastikan individu atau kumpulan terlibat melakukan perbuatan khianat dengan melontar bom petrol ke rumah ahli PPKM di Taman Senangin ditahan dalam masa terdekat dengan bantuan polis,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: