02 Disember 2011

Sembilan motosikal disita

6 Muharram 1433H. [MOD] -

SEGAMAT - Sebanyak sembilan motosikal disita pihak Majlis Daerah Segamat semalam atas kesalahan meletakan motosikal di tempat yang salah selain menghalang laluan pejalan kaki di beberapa kaki lima sekitar kawasan bandar ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat Ismail Abu berkata, pihaknya sebelum ini sudah menjalankan tindakan sama di beberapa kawasan tumpuan orang ramai dan pejalan kaki.

Menurutnya, dianggarkan sebanyak sembilan hingga 15 buah motosikal disita MDS dalam jangka masa seminggu berkaitan kesalahan meletakkan kenderaan di tempat yang salah dengan hampir lima buah kereta disita dalam jangka masa sebulan.

“Pihak MDS melihat perkara ini perlu diberi perhatian oleh setiap penunggang motosikal selain pemilik kenderaan (kereta) untuk mengambil berat setiap notis yang telah diletakkan sebelum kenderaan mereka disita.

“Setiap kereta atau lori yang ditarik tidak dilakukan hanya dengan satu notis sahaja malah pihak MDS telah memutuskan untuk memberikan peluang kepada pemilik bagi mengalihkan kenderaan mereka dengan anjakkan beberapa hari dari tarikh notis dikeluarkan dan ada yang diberi peluang sehingga dua notis dikeluarkan untuk sebuah kenderaan,” katanya.

Menurutnya, kenderaan yang ditarik oleh pihak MDS seperti kereta melakukan kesalahan seperti membiarkan kenderaan tersebut di lorong belakang, terbiar atas tanah kerajaan dan kebanyakannya disita kerana terbiar dalam jangka masa yang sangat lama.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa MDS, Raja Abu Bakar Raja Yahya berkata, setiap kenderaan yang ditarik oleh pihak MDS perlu dituntut oleh pemiliknya dengan hadir terus ke stor MDS di Jalan Muar untuk membuat tuntutan kenderaan mereka.

“Bagi sebuah kenderaan seperti motosikal denda dikenakan sebanyak RM250 dan perlu dituntut dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan denda lain dikenakan.

“Semua pihak perlu mengambil kira setiap undang-undang yang disediakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku sekali gus memudahkan dan melancarkan laluan lalu lintas,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: