02 Disember 2011

RM60,000 atasi banjir kilat

6 Muharram 1433H. [MOD] -

BESERI - Kerajaan Negeri memperuntukkan RM60,000 untuk memperbaiki sistem saliran dan perparitan di sebuah kawasan perkuburan Cina berhampiran Taman Beseri Jaya, di sini bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan itu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr Phor Choo Chor berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi menaik taraf longkang sepanjang 200 meter dalam kawasan perkuburan itu menggunakan pembetung bentuk U.

Menurutnya, pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perlis serta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dipanggil untuk mengukur tanah bagi membolehkan proses pengambilalihan tanah dilaksanakan.

“Sebelum ini, Persatuan Perkuburan Cina Perlis pernah membuat aduan terhadap Kerajaan Negeri mengenai masalah banjir kilat dan sistem perparitan yang tidak baik di situ.

“Masalah yang dihadapi lebih serius pada bulan April setiap tahun apabila waris menziarahi kubur untuk melaksanakan upacara sembahyang,” katanya kepada media selepas turun padang meninjau masalah sistem perparitan di kawasan perkuburan itu semalam.

Beliau juga sudah bertemu dengan Adun Beseri, Datuk Mat Rawi dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Beseri Jaya untuk berbincang.

“Sebelum ini, ketika MPK membuat jalan pintas di sekitar kawasan Taman Beseri Jaya, ia pernah mengambil sedikit kawasan taman perkuburan Cina di Beseri.

“Perbincangan saya dengan Mat Rawi adalah bagi membolehkan tuntutan semula terhadap tanah diambil dilaksanakan bagi membolehkan projek menaik taraf sistem perparitan di kawasan tanah perkuburan dapat dilaksanakan selewat-lewatnya bulan depan,” katanya.

Turut hadir ahli majlis MPK kawasan Padang Besar, Ahli Jawatankuasa MCA Bahagian Padang Besar dan Persatuan Perkuburan Cina Perlis.

Sinar Harian

Tiada ulasan: