28 Januari 2012

Lans Koperal maut terkena tembakan ketika berburu


KUALA BERANG: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal terbunuh selepas terkena satu das tembakan dari jarak dekat yang dilepaskan rakannya, ketika memburu di hutan berhampiran Kampung Kuala Menjing, di sini, kira-kira jam 9.45 malam, kelmarin.

Yaseer Janudin, 26, dari Kampung Permatang Pasir, Melaka Tengah, Melaka, yang bertugas di Bahagian Persenjataan Ibu Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu yang cedera parah di dada kiri meninggal di tempat kejadian.
Sebelum kejadian, mangsa yang bertugas selama enam tahun di IPD Hulu Terengganu bersama dua rakannya, Amran Junaina Abdul Majid, 49, yang bertugas sebagai pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Kuala Berang dan Fauzi Mustapa, 29, keluar memburu kira-kira jam 5 petang.

Ketika memburu, rakan mangsanya, Amran Junaina yang bersenjatakan senapang patah dipercayai melepaskan satu das tembakan ke arah satu cahaya putih seolah-olah mata seekor rusa, tetapi sebenarnya tertembak Yaseer.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir, berkata selepas melepaskan tembakan, Amran Junaina memanggil rakannya termasuk mangsa untuk menyembelih haiwan yang ditembaknya.

Bagaimanapun, katanya, Amran Junaina yang juga anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) terkejut apabila sangkaannya meleset selepas mendapati Yaseer terbaring dan tubuhnya berlumuran darah.
“Amran Junaida kemudian berlari sejauh kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian untuk ke jalan utama sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu di IPD Hulu Terengganu kira-kira jam 10.20 malam.

“Sepasukan pegawai yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa sudah meninggal dan jenazahnya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat,” katanya.

Mohd Rosli berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai secara tidak sengaja tertembak mangsa menggunakan senjata api untuk kegunaan anggota RELA.

“Amran Junaina dan Mohamad kini ditahan di IPD Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala senapang patah serta beberapa biji peluru digunakan untuk memburu turut dirampas,” katanya.

Di MELAKA TENGAH, ibu Yaseer, Sakdiah Khamis, berkata beliau mengetahui kejadian menimpa anaknya itu pada waktu Subuh selepas diberitahu seorang lagi anaknya.

“Mereka enggan memberitahu awal sebab bimbang saya terkejut kerana kebelakangan ini sering sakit dada. Arwah sememangnya sangat rapat dengan saya sebab dia adalah anak bongsu daripada lima beradik,” katanya.

Sakdiah, 55, berkata, pada Jumaat lalu, arwah membawa pulang bakal tunangnya, seorang guru berasal dari Terengganu yang hanya dikenali Suhana untuk bertemu keluarga di kediamannya di Jalan Bachik, Permatang Pasir Alai.

“Arwah kelihatan sangat seronok dan bertanya pendapat saya mengenai gadis itu, sama ada cantik serta sesuai untuknya. Kami sekeluarga bercadang untuk ke sana (kampung Suhana di Terengganu) pada Mac ini, tetapi apakan daya, jodoh mereka tidak kesampaian,” katanya.

Jenazah Yaseer yang tiba di kediaman keluarganya awal pagi semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir Alai. - Agensi

4 Rabi'ul Awal 1433H.

Tiada ulasan: