06 Mac 2012

Skandal: Kenapa Najib kekal pemimpin 'recycle'?

13 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Datuk Seri Najib Tun Razak harus membuat keputusan tegas terhadap kedudukan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selaku senator kerana menteri itu sudah menjadi liabiliti kepada kerajaan hari ini.

Ketua Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusoff (gambar) berkata, Najib Tun Razak tidak perlu teragak-agak untuk tidak menyambung perkhidmatan selaku senator yang dipegang oleh Shahrizat sejak 9 April 2009.

Malah katanya, jika benar Najib mahu merealisasikan dasar membasmi rasuah dan ketirisan di samping mengetengahkan kepimpinan berintegriti, inilah peluang yang terbaik untuk Najib.

"Perdana Menteri harus mengambil peluang terhadap sikap terbuka yang ditunjukkan Shahrizat demi masa depan negara apatah lagi realiti yang ditunjukkan rakyat pada hari ini," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun, katanya jika Shahrizat masih dikekalkan selepas ini, rakyat akan melihat kerajaan seolah-olah sudah ketandusan pemimpin.

"Sudah tidak ada pemimpin lain yang berwibawa, walaupun terlibat dengan skandal rasuah masih mendapat tempat. Pemimpin 'recycle'," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Siti Zailah menyanjungi keterbukaan Shahrizat yang menyedari realiti hari ini walaupun pada awalnya beliau enggan meletakkan jawatan ekoran keterlibatannya dalam dakwaan penyelewengan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Ramai pihak mengkritik Shahrizat ekoran skandal itu termasuklah kritikan ahli-ahli biasa parlimen dalam partinya sendiri.

Terdahulu, Shahrizat menyerahkan kedudukan beliau sebagai Senator kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak untuk membuat keputusan.

Tempoh perkhidmatannya selaku senator akan berakhir bulan depan. Masa depan ketua Wanita Umno ini bergantung kepada keputusan Najib.

NFC menjadi berita hangat apabila termasuk dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010, dan terus menjadi topik kontroversi apabila ianya dikaitkan dengan Shahrizat dan keluarganya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: