29 April 2012

Bersih 3.0 zahirkan suara hati rakyat Malaysia

7 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Kehadiran ratusan ribu pada himpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur semalam secara jelas menggambarkan rakyat tidak lagi yakin terhadap proses pengendalian pilihan raya di negara ini.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakub (gambar) berkata, rakyat berhimpun dengan jumlah begitu ramai semata-mata bagi menzahirkan suara hati mereka terhadap ketidakadilan yang berlaku.

“Himpunan Bersih 3.0 semalam yang turut diadakan serentak di beberapa lokasi lain dalam dan luar negara menggambarkan hasrat sebenar rakyat ingin melihat pilihanraya benar-benar bersih daripada segala kepincangan.

“Bersih 3.0 satu himpunan yang cukup berjaya bagi mendesak kerajaan membersihkan daftar pemilih yang meragukan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Semalam ratusan ribu rakyat yang datang dari seluruh negara berhimpun di sekitar kawasan Dataran Merdeka bagi mendesak kerajaan benar-benar melakukan reformasi terhadap badan pengendalian pilihan raya.

Biar pun perhimpunan Duduk Bantah cuba digambarkan keadaan sebaliknya dalam banyak laporan media hari ini, namun orang ramai lebih awal mendapat maklumat sebenar dari lokasi sejak semalam.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, perhimpunan itu membuktikan kehendak rakyat tidak boleh diperlekehkan lagi.

“Dewan Ulamak PAS berharap kerajaan dapat mengenal pasti perkara-perkara yang dibangkitkan bagi memulihkan sistem pilihanraya negara ini benar-benar bersih dan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

“Walaupun media cuba menggambarkan berlakunya rusuhan dan keganasan, kami percaya ia tidak akan berlaku sekiranya pihak keselamatan bertindak secara bijaksana.

“Kerajaan dan SPR tidak boleh lagi menjawab setiap masalah secara sambil lewa kerana rakyat mengetahui kelemahan yang cuba disembunyikan,” katanya.

Beliau juga berkata, amat tidak wajar pengerusi dan timbalan pengerusi SPR menjadi ahli kepada parti politik memandangkan badan pengendali pilihan raya itu sebelum ini diperlihatkan sebagai berkecuali.

Menurutnya apabila mereka menjadi penyokong kepada parti politik tertentu sudah tentu ada perasaan bias dan tidak mampu lagi bertindak sebagai pengadil yang berkecuali.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: