29 April 2012

512 peserta ditahan, polis masih cari pistol

7 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Seramai 512 orang termasuk 25 orang wanita dan lima kanak-kanak ditahan polis dalam operasi ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara semalam, menurut kenyataan PDRM hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata kesemua individu berkenaan dibebaskan selepas diambil keterangan.

Selain itu beliau juga berkata polis masih mencari sepucuk pistol seorang anggotanya yang didakwa hilang ketika perhimpunan berkenaan.

"PDRM meminta kerjasama orang ramai yang menjumpai pistol berkenaan supaya menghubungi atau memulangkan ke balai polis berdekatan," katanya.

Bagaimanapun laporan akhbar hari ini menyebut bahawa senjata api itu telah dijumpai.

Laporan berkenaan memetik kenyataan PDRM dan menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Twitter.

Dalam perkembangan berkaitan, kenyataan Mohmad mengesahkan bahawa seorang anggotanya, Sjn Zaini Nawawi, 53, polis meninggal dunia di Kuala Lumpur semalam.

Kematian tersebut tiada kena mengena dengan tindakan polis ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH, jelasnya.

"Anggota tersebut meninggal dunia kerana mengalami sesak nafas ketika menjalankan tugas rondaan biasa di kawasan Bukit Bintang," katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa seramai 13 orang anggota polis mengalami kecederaan ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH.

"(Seramai) sebelas orang daripada dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan UKM, manakala dua orang lagi masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Dua anggota berkenaan ialah L/Kpl Mohd Wasir Abu yang didakwa dipukul dan terjatuh daripada motosikal dan juga Konst Mohd Kamil Parimin yang mengalami kecederaan di kepala.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: