29 April 2012

Span cuci kontroversi

7 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SPAN cuci pinggan berbentuk rambut afro yang dijual di seluruh United Kingdom, mencetuskan kontroversi perkauman kerana ia dilihat mempersendakan golongan kulit hitam. - Agensi

LONDON 28 April - Sebuah syarikat tempatan yang menjual span pencuci pinggan berbentuk rambut afro dikritik kerana dianggap bersikap perkauman, selepas produk itu menyerupai penyanyi lagenda kulit hitam, Diana Ross yang terkenal dengan gaya rambut sama.

Barangan tersebut, yang kini berada di pasaran di seluruh United Kingdom (UK) mengingatkan kembali kepada watak kartun golliwogs dan rancangan Black and White Minstrels yang pernah mencetuskan kontroversi perkauman.

Setiausaha Agung Fahaman Menentang Fahaman Fasis Bersatu, Weymen Bennet berkata, tindakan itu memaparkan stereotaip perkauman yang wujud di London sebelum ini.

"Apa yang akan dilakukan selepas ini, adakah berus tandas seperti itu juga akan dikeluarkan?

"Walaupun sekadar jenaka, ia tidak sesuai dengan abad ke 21. Malah, ia mengukuhkan lagi persepsi negatif," katanya.

Bennet berkata, pemimpin Britain mengambil masa 40 tahun untuk mengikis imej perkauman negatif dan adalah sesuatu yang memalukan sekiranya ia kembali lagi.

Beliau yang memperjuangkan antifasis selama 30 tahun memberi amaran, keadaan itu seolah-olah memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk mengeluarkan produk bersifat perkauman dan ia bukan sesuatu yang mahu dilihat oleh masyarakat.

"Kami telah bekerja keras untuk memastikan ia tidak berlaku dan ia bukan sesuatu yang positif yang patut berlaku pada abad ini ,'' ujarnya. - AGENSI

Tiada ulasan: