01 Mei 2012

Bahagia ditentukan pasangan pada malam pertama

9 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Bahagia menurut orang kebanyakan ialah apabila banyak wang, banyak harta yang boleh buat apa sahaja dengan wang itu demi kebahagian suami isteri. Oleh sebab itulah suatu ketika dahulu apabila ada lelaki hendak masuk meminang dipersoalkan status kerja dan jawatannya. Walaupun akhirny diterima juga peminangan, hanya kerana terpaksa namun menantu tersebut bukanlah kesayangannya.

Walau bagaimanapun akhir-akhir ini terdapat sedikit angin perubahan, apabila lelaki yang tidak berada boleh berkahwin dengan perempuan yang berada. Keadaan berlaku apabila wanita berjawatan lambat berkahwin. Maka apabila perempuan tersebut bersetuju, ibu bapa akan ikut sahaja. Suami yang menjadi pilihan itu tidak diharapkan apa-apa kecuali perlindungan.

Realitinya manakah di antara keduanya boleh wujud kebahagian? Kalau kekayaan semata-mata menjadi ukuran, kita lihat ramai juga yang tidak bahagia. Walaupun semua yang dihajati boleh diperoleh dengan wang tetapi masih ada hati yang tidak tenang. Begitu juga pasangan yang tidak memikirkan soal kewangan. Kadang-kadang suami rasa tertekan kerana tidak boleh bebas bergerak. Jadi, mereka tetap tidak bahagia. Kalau begitu apakah yang sebenarnya boleh membawa kebahagiaan?

Malam pertama

Walau apapun usaha dan ikhtiar yang dilakukan untuk bahagia, sebenarnya komunikasi atau hubungan dua hala yang berkesan itulah yang amat penting untuk mencapai kebahagiaan. Oleh sebab itu pada malam pertama, pengenalan diri secara yang lebih mendalam boleh dimulakan sebelum lain-lain urusan. Mungkin pasangan yang sudah lama berkenalan berkata mereka tidak berkenalan lagi, tetapi percaya mereka sebenarnya belum benar-benar kenal. Jadi, pada malam pertama perlu diluahkan segala-galanya agar tiada rahsia antara keduanya.

Pada masa yang sama, tuliskan pada satu kertas tentang empat perkara yang telah dimiliki dan akan dicapai. Empat perkara tersebut ialah tentang imannya, akhlaknya, sifat mawaddah dan sifat rahmatnya. Suami tulis dalam catatannya dan isteri juga lakukan perkara yang sama dalam catatannya.

Iman, tuliskan tahap iman anda. Apa yang anda tahu tentang iman. Ketahuilah orang yang beriman ialah orang yang apabila menyebut nama Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan al-Quran bertambah imannya. Inilah tahap iman yang sepatutnya dimiliki oleh umat Islam.

Akhlak, tuliskan tahap akhlak anda, adakah sudah baik atau kadang-kadang tidak boleh sabar. Allah datangkan Nabi Muhammad kepada umatnya untuk menyempurnakan akhlak manusia. Rasulullah sendiri amat tingga akhlaknya, sangat penyabar dan penyantun dalam pergaulan. Malah hasil akhlaknya itu musuh Islam boleh menerima Islam. Bolehkah kita memiliki akhlak sebegitu dalam berhadapan dengan isteri?

Mawaddah, tuliskan tahap sifat kasih sayang anda. Bolehkah anda memberi kasih sayang kepada isteri anda sepenuhnya. Orang yang kasih dan sayang tidak akan abaikan isteri, perhatian diberikan sepenuh kepada isteri. Dan kalau isteri membuat sesuatu yang baik untuk anda bolehkah dibalas dengan kasih sayang? Hargailah pengerbonan sepanjang dia menjadi isteri anda.

Rahmah, tuliskan tahap belas kasihan yang ada dalam diri anda. Dalam hal ini kalau isteri sakit bolehkah anda membelainya dengan belas kasihan. Kesalahan isteri terhadap anda bolehkah dibaiki dengan penuh belas kasihan. Kederhakaan isteri bolehkah diberi teguran dengan berhikmah dan belas kasihan? Belas kasihan ini penting dalam rumah tangga.

Isteri jugas perlu menulis perkara yang sama tetapi dia tidak boleh berpakat apa yang mahu ditulisnya. Setelah siap, berikan kepada pasangan masing-masing dan bacalah catatan pasangan anda dengan cermat. Setelah itu, masing-masing perlu berikrar di hadapan pasangan, “Saya akan menjadi suami/isteri yang beriman, berakhlak, ada sifat mawaddah dan rahmat, jika saya terseleweng dari landasan ini, saya bersedia ditegur oleh pasangan.” Demikian yang boleh dilakukan pada malam pertama.

Nilaian pasangan

Apabila masing-masing sudah mendapat catatan pasangannya, simpanlah baik-baik di tempat yang boleh dilihat. Tetapi sebelum tidur, bukalah lembar catatan itu dan masing-masing boleh buat penilaian terhadap pasangan anda. Kalau pasangan tersebut sudah baik imannya, akhlaknya dan semuanya memuaskan maka ucaplah terima kasih terhadap pasangan anda. Semoga kebaikan itu dapat diteruskan sehingga bila-bila.

Namun begitu kalau dalam penilaian itu terdapat kekurangan yang boleh menjejaskan hubungan bolehlah anda membuat teguran untuk menambahbaikkan kekurangan itu. Dalam hal ini perlu diingatkan, janganlah kesalahan atau kekurangan itu dibiarkan berlalu tanpa sebarang teguran atau baik pulih. Percayalah kalau keadaan ini berterusan, boleh membawa kesan buruk kepada pasangan itu, dan boleh jadi dia tidak boleh menerima teguran lagi selepas itu.

Suka saya contohkan di sini kisah yang boleh dikaitkan dengan soal teguran. Bayangkan kalau seorang suami menulis dalam catatan itu bahawa dia mahu berbuat baik, berakhlak mulia. Ertinya dia perlu berbuat baik kepada isteri setiap masa. Nanti kalau dalam sehari itu, suami suka marahkan isteri, maka isteri bolehlah merujuk kepada catatan suami, dan tunjukkan kepada suami. Ketika itu suami anda akan sedar dan akan segera berubah. Kalaulah dia mahu berubah juga, ingatkan dia bahawa dia sebenarnya telah berjanji di hadapan Allah.

Percayalah dengan cara ini suami boleh reda dan isteri juga akan rasa tenang. Itulah hakikat kebahagiaan dalam rumah tangga. Kalau keadaan ini boleh dikekalkan, miskin harta tidak menghalang mereka untuk menjayakan kehidupan. Hakikatnya mereka kaya iman.

Muhasabah bulanan

Selain muhasabah harian boleh juga dilakukan muhasabah secara bulanan. Cuma perlu diingatkan, segala yang berlalu bahkan sudahpun diselesaikan setiap hari sebelum tidur maka tidak wajarlah diungkit-ungkit lagi. Yang sudah sudahlah, semoga yang berlalu itu akan menjadi panduan untuk masa depan mereka.

Muhasabah bulan itu seeloknya dibuat pada waktu sarapan pagi atau waktu makan petang. Jika masing-masing berpuas hati, sebaiknya antara mereka saling ucapkan ribuan terima kasih. Siapa yang hendak mula dahulu tidak timbul isu, yang penting siapa yang memberi tentu lebih besar pahalanya daripada orang yang menerima.

Walau bagaimanapun jika pasangan tersebut sukar membuat perubahan setelah ditegur berkali-kali, terimalah kekurangan itu dengan penuh rasa tolak ansur dan sabar. Ingatlah suami atau isteri yang cuba membuat perubahan akan diberi pahala walaupun dia gagal mencapainya. Manakala suami atau isteri yang boleh bertolak ansur dalam hal ini, pahala tentu lebih besar di sisi Allah.

Ketahuilah pasangan yang boleh bertolak ansur dan sabar dengan kerenah pasangannya, hakikatnya mereka telah benar-benar beroleh bahagia. Mengapa? Ya, dengan tolok anda dan sabar itu mereka akhir boleh melakukan hubungan kelamin dengan penuh kasih sayang. Malah hubungan sebeginilah yang menjadi ukuran kebahagiaan.

Dalam hal ini kalau ada seseorang yang mendakwa empat perkara di atas sudah sempurna padanya, tetapi apa dilihat pada kehidupannya didapati tidak wujud hubungan kelamin dengan penuh kasih sayang, mereka belum boleh lagi dikatakan bahagia. Ingatlah apabila hubungan mereka berlaku secara paksa atau sebelah pihak tidak mahu memberi kerjasama, bermakna empat perkara di atas tidak dilakukan secara baik.

Di sini mungkin ada pihak yang tidak suka isu hubungan kelamin ini dibesarkan. Tetapi percaya, kebanyakan punca hubungan keluarga yang tidak harmoni akhir-akhir ini ialah apabila pasangan itu menjauhkan diri daripada hubungan kelamin. Tidak percaya?

Pernahkah anda mendengar berita pasangan tua bercerai? Walaupun kes banyak tetapi tidak dibesarkan media. Pasangan itu walaupun sudah tua, sudah punyai anak dan cucu yang ramai, tetapi apabila hubungan kelamin tidak dapat dikekalkan, rasa mawaddah dan rahmat turut hilang. Jika ini gagal dilakukan keruntuhan rumah tangga boleh berlaku bila-bila masa.

Jadi, hubungan dua hala seperti yang dinyatakan di atas mesti dinilai setiap masa sehingga ke akhir hayat. Ingatlah kebahagiaan rumah tangga perlu diteruskan hingga ke dalam syurga.
--
Dicatat Oleh Blogger ke Fikrah Islamiah

1 ulasan:

khalifah (apabila silam berbicara) berkata...

salam... boleh kita bertukar link. saya akan masukan link ini kedalam bloglist saya dan saya harap anda jug dapat memasukan link saya kedalam bloglist anda (http://khalifahalhidayah.blogspot.com).

terima kasih...