06 Mei 2012

Kenderaan terbakar selepas terlanggar pembahagi jalan

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Berpantang maut sebelum ajal! Itu yang boleh digambarkan kepada sepasang suami isteri apabila berjaya menyelamatkan diri selepas kenderaan dinaiki terbabas dan terbakar di jejambat Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Alza dikatakan gagal mengawal pemanduan di selekoh jejambat lalu terbabas melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu dari arah Sunway menghala ke Puchong itu tiba-tiba hilang kawalan sehingga merempuh konkrit pembahagi jalan.

Menurutnya, dalam keadaan panik mangsa bersama isterinya yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang sebelah depan bergegas keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.

“Tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan kedua-duanya kerana rempuhan kuat menyebabkan kereta itu terbakar beberapa minit selepas itu.

“Tiada sebarang kecederaan pada kedua-dua mangsa namun kereta milik mereka hangus terbakar dalam kejadian itu,”katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa memaklumkan cuba memotong sebuah motosikal yang berada di depannya.

“Bagaimanapun ketika berada di kilometer 20.4 betul-betul di atas jejambat berhampiran sebuah pusat beli-belah terkenal, kenderaan dipandu hilang kawalan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan teperinci akan dijalankan,”katanya.

SINAR HARIAN/-

Tiada ulasan: