20 Mei 2012

Mahasiswa Dakwa Kepala Retak Diganasi Polis

28 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Seorang pemuda mendakwa retak di kepala akibat dipukul polis sewaktu himpunan BERSIH 28 April lalu - antara insiden paling serius diketahui setakat ini.

Mohd Najib Rahimi, 27, mendakwa dipukul kira-kira 30 anggota polis selepas ditangkap dan diseret polis dari kawasan Masjid Jamek ke Dataran Merdeka.

Menurutnya, beliau dipukul selepas cuba menghalang polis yang mahu merempuh peserta BERSIH yang berlindung di Masjid Jamek.

Beliau juga kesal dengan tindakan polis yang didakwa bertindak seolah-olah beliau melawan sewaktu ditangkap untuk membolehkan polis lain menyerangnya bertalu-talu.

"Dia tarik dan koyakkan leher baju saya dan menggoyang-goyangkan badan saya seolah-olah saya melawan.

"Sepanjang perjalanan (dari Masjid Jamek ke Dataran) saya ditumbuk, ditendang dan saya hanya mampu beristighfar sahaja," katanya.

Mohd Saufi Othman, 26 tahun, seorang pelajar politeknik pula mendakwa dihentak dengan gari dan bucu pistol pada bahagian tulang rusuknya.

"Sehingga kini setiap kali saya menarik nafas, saya terasa sakit di bahagian dada," katanya yang menyertai himpunan BERSIH bersama keluarganya.

Seorang agen insurans, Daniel Lee, 39 tahun mendakwa menerima lima jahitan di belakang telinganya selepas dipukul polis sewaktu menunggu tren berhampiran Masjid Jamek untuk pulang ke rumah

"Polis naik ke atas platform dan menarik dan membelasah saya sepanjang perjalanan dari stesen itu sehingga ke Dataran Merdeka," katanya. -mk

Tiada ulasan: