20 Julai 2012

Rakyat Bukan Ahli UMNO Tidak Diperlukan Sambut Hari MERDEKA? Bagus!

30 Syaaban 1433H. [MOD] -

Petaling Jaya:Bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir membidas tema perayaan hari kemerdekaan yang disifatkannya sebagai kempen pilihan raya BN.

Tema hari kemerdekaan tahun ialah Janji Ditepati.

“Ianya begitu terang dan terbuka tanpa sorok-sorok. Ini jelas membuktikan sikap kerajaan yang begitu ego dan begitu yakin tentang kedudukannya.

“Ianya tidak peduli sama sekali dengan perasaan pihak rakyat keseluruhannya. Ianya seakan-akan perayaan kemerdekaan juga telah menjadi hak “BN”,” katanya dalam kenyataan akhbar semalam.

Abdul Kadir yang juga Presiden Sementara Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) berkata, beliau pernah menjadi pengerusi perayaaan kemerdekaan selama tujuh tahun dari tahun 1999 hingga 2006.

Katanya, beliau dapat memahami kenyataan kekecewaan yang diluahkan merata-rata mengenai tema perayaan kemerdekaan pada tahun ini iaitu Janji Ditepati.

“Saya diingatkan bahawa pada pilihanraya 2008 hampir separuh dari pengundi seluruh Malaysia tidak mengundi BN.

“Oleh itu sudah wajarlah kerajaan perlu mengambil kira bagaimana untuk menarik sokongan hampir separuh dari jumlah rakyat ini supaya sama-sama dapat merayakan kemerdekaan tersebut,” tambah beliau lagi.

Pemimpin pembangkang

Abdul Kadir berkata, perayaan kemerdekaan adalah suatu peluang yang sebaik-baiknya untuk kita merapatkan hubungan di kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Ia juga peluang untuk mengenepikan segala persoalan yang mengasingkan rakyat maka kerajaan begitu berhati-hati mengenai segala perkara yang berkaitan dengan perayaan tersebut.

“…supaya ia tidak menimbulkan sebarang kecurigaan dan sebaliknya pula perayaan tersebut dapat diterima dan disokong oleh semua pihak,” kata beliau lagi.

Menurut Abdul Kadir lagi, pemimpin pembangkang dijemput untuk menghadiri dan bila mereka menghadirinya maka adakalanya mereka dijemput juga di pentas untuk bersama pemimpin-pemimpin kerajaan.

Katanya, beliau sendiri setiap tahun sebelum perayaan bermula akan berjumpa Menteri Besar Kelantan dan juga Menteri Besar Terengganu (yang pada masa itu dipimpin oleh PAS) serta ketua pembangkang, Lim Kit Siang supaya memberi kerjasama dan merayakan perayaan tersebut sebagai suatu perayaan yang dipunyai oleh seluruh bangsa Malaysia.

Begitu juga bantuan-bantuan yang berbagai termasuk bantuan bendera yang termampu disalurkan juga kepada kerajaan-kerajaan pembangkang termasuk memberi ruang kepada mereka dalam media massa.

“Alhamdulillah, parti-parti pembangkang pada waktu itu telah memberi kerjasama 100 peratus kepada kerajaan dalam menjayakan program-program perayaan kemerdekaan,” katanya. -FMT

Tiada ulasan: