20 Julai 2012

Teroka Rahsia Alam Cakrawala Di Balai Cerap Baru

30 Syaaban 1433H. [MOD] -

SABAK BERNAM 20 JULAI : Rakyat Selangor kini boleh mengambil peluang menggunakan infrastruktur Balai Cerap yang baru dirasmikan untuk mengkaji serta meneroka kejadian serta rahsia alam cakrawala.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Balai Cerap yang dikendalikan oleh Jabatan Mufti Selangor itu di sini petang semalam.

Salam ucapan alu-aluannya Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, Balai Cerap ini berperanan sebagai pusat pendidikan dan penyebaran dakwah selain menjalankan aktiviti falak seperti melihat anak bulan, mencerap objek di langit seperti bintang, planet, buruj, komet dan meteor.

“Lebih istimewa, pembinaannya turut mendapat sentuhan idea Menteri Besar yang mengesyorkan agar tiang teleskop di kubah utama ditinggikan agar sudut pandangannya tidak terhalang dengan objek di sudut ufuk barat,” jelas Tamyes.

Balai Cerap yang mula dibina pada 2009 dengan kos RM 2.5 juta dan berkeluasan 4, 824 meter persegi ini mula beroperasi pada Ogos 2010.

Ia yang terletak di dalam kawasan Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS) turut meliputi ruang pejabat, pentadbiran, ruang pameran dan sistem teleskop di kubah cerapan yang berbumbung dan bermekanikal.

Sistem teleskop tersebut bernilai RM800,000 merangkumi sistem kubah yang mampu berputar 360 darjah serta dua buah teleskop robotik yang dikawal sepenuhnya oleh sistem komputer dan boleh melihat jelas sehingga ke Tanjung Lumba-lumba, Perak.

Dalam majlis perasmian lewat petang itu, Sultan Sharafuddin turut dibawa mencerap anak bulan bagi penentuan 1 Ramadan selain meninjau insfrastruktur tersebut.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Seri Mohamad Adzib Mohd Isa serta Exco Negeri, Dr Yaakob Sapari.

selangorku/-

Tiada ulasan: