29 September 2012

Lajim Ukin : Bajet 2013 pinggir rakyat Sabah, Sarawak

13 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin melahirkan rasa kekecewaan apabila kerajaan Umno BN terus meminggirkan rakyat Sabah dan Sarawak pada Bajet 2013 yang dibentangkan hari ini.
Bajet 2013 bertemakan Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada jam 4 petang tadi.

Lajim yang ditemui sejurus selepas perbelanjaan bajet tersebut memberitahu tiada peruntukan khusus diberikan kepada Sabah mahupun Sarawak.

"Tumpuan kepada Sabah dan Sarawak terus dipinggirkan, tidak ada langsung disebutkan melainkan hanya mewujudkan jelapang padi di Kota Belud dan Batang Lupar sedangkan kita tahu Sabah merupakan 'fixed deposit' kepada Barisan Nasional, tiada satu pun projek yang dikhususkan khas untuk rakyat Sabah," jelasnya.

Beliau turut menyatakan bajet kali ini juga tidak menunjukkan satu penyelesaian yang kuat akan dilakukan oleh kerajaan pada tahun 2013.

"Ia seperti bantuan di kalangan belia yang belum berkahwin diberi RM250 apakah itu satu penyelesaian jangka panjang, apa yang disediakan itu hanya untuk jangka pendek sahaja.

"Apa yang kita mahu ialah kerajaan perlu meletak penyelesaian untuk tempoh jangka panjang supaya rakyat Malaysia terutamanya golongan muda lebih terjamin masa depan mereka," sambung beliau lagi.

Beliau yakin bajet yang dibentangkan kali ini merupakan satu bajet politik untuk Barisan Nasional menghadapi pilihanraya umum.

Bajet 2013 diperuntukan sejumlah RM251.6 bilion dengan meletakkan RM201.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Pakatan Rakyat sebelum ini membentangkan belanjawan Pakatan Rakyat 2013 telah meletakkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM233 bilion.

Harakahdaily/-


Tiada ulasan: