03 September 2012

Pijak gambar pemimpin negara perbuatan melampau

15 Syawal 1433H. [MOD] -

Tindakan segelintir pihak memijak gambar (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor) disifatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai tindakan melampau bagi menyemai bibit kebencian terhadap pemimpin negara.

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan menyiasat perkara itu dan seterusnya menyerahkan kepada pihak pendakwaan dan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Politik kebencian itu satu perkara yang cukup merbahaya dalam masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama,” kata Hishammuddin, yang juga Naib Presiden Umno, kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pengkalan Chepa di sini, Sabtu.

Hishammuddin berkata perkara seumpama itu perlu ditangani dengan bijak dan cepat supaya ia tidak dieksploitasi pihak tertentu.

Selain memijak gambar pemimpin pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka ketika sambutan ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-55, ada peserta membawa ‘bendera baharu’ yang disifatkan ramai pihak sebagai tidak menghormati kedaulatan negara.

Hishammuddin berkata apa yang dilakukan pihak berkenaan juga dibimbangi boleh menjurus kepada keadaan negara menjadi huru-hara, dan menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi mengenai soal keselamatan negara.

Berita ihsan UTUSAN, gambar sekadar hiasan dari sekitar Internet.
-Pejabat YB Khalid Samad-

Tiada ulasan: