03 September 2012

Sambutan Kemerdekaan Negeri Selangor meriah

15 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Malam tadi, sambutan hari kemerdekaan ke-55 tahun peringkat Negeri Selangor meriah apabila lebih dua ribu rakyat negeri ini membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Sebangsa, Senegara, Sejiwa adalah tema yang telah disepakati dan telah dapat memenuhi semangat perpaduan serta keharmonian apabila pelbagai kaum tanpa mengira agama serta umur hadir untuk menyambut ambang kemerdekaan.

Sambutan itu juga telah dimeriahkan dengan perbarisan 53 kumpulan dan 7 kumpulan pancaragam dari sekolah-sekolah di Selangor.

Turut hadir memeriahkan sambutan tersebut, barisan kepimpinan Pakatan Rakyat terdiri daripada Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isteri serta keseluruhan barisan exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) juga hadir termasuk kakitangan kerajaan yang lain.

Dalam pada itu, sambutan yang bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan disusuli dengan perbarisan serta persembahan tarian tradisional sebelum ucapan daripada pemimpin utama negeri dan Pakatan Rakyat.

Pada sambutan itu juga, Menteri Besar Selangor telah melaungkan 'merdeka' sebanyak tujuh kali disertai dengan percikan bunga api di ruang udara bandar Shah Alam, tepat pada jam 12 tengah malam.

MALAYSIA HARMONI/-

Tiada ulasan: