22 November 2012

AES: Kase mahu fail semakan kehakiman

8 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase) akan memulakan semakan kehakiman bagi membolehkan perjanjian pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dapat didedahkan.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar memberitahu pendedahan perjanjian itu amat penting kerana terdapat perkara-perkara yang mengelirukan dalam pelaksanaan AES.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Pangangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri perjanjian tersebut tergolong dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Malah beliau turut menyatakan kesediaan jika ada pihak yang mencabar pendedahan perjanjian tersebut di mahkamah.

"Proses semakan kehakiman akan kita lakukan pada masa terdekat dan pada waktu itu kita akan meminta mahkamah memerintah supaya perjanjian itu dikemukakan kepada mahkamah.

"Ini adalah untuk memastikan supaya proses perbicaraan semakan itu berjalan dengan lancar terutamanya persoalan yang berkaitan dengan perjanjian itu digunapakai sebagai penghujahan," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.

Mahfuz turut mengulas kenyataan kerajaan yang mengatakan pihak syarikat diarahkan menyediakan kenderaan bagi tujuan mengendalikan kamera AES berkonsep mobile.

"Sebab itu saya katakan pendedahan perjanjian ini amat penting, apakah perjanjian itu sampai kepada syarat kenderaan yang disediakan oleh syarikat menggunakan logo atau warna agensi kerajaan.

"Mungkin dalam perjanjian mereka menyediakan kenderaan tetapi bukan menggunakan logo dan mewarnakan seperti kenderaan penjawat awam," katanya.

Tambahnya lagi, menggunakan logo dan warna sudah bertentangan dengan Seksyen 170 dan 171 di bawah Kanun Keseksaan, menyamar penjawat awam.

Beliau memberitahu lagi, tindakan menggunakan kenderaan yang menyamai kenderaan kakitangan awam akan menyebabkan penyalahgunaankuasa kononya mereka pegawai penguatkuasa dan secara langsung menimbulkan isu gejala rasuah.

harakah/-

Tiada ulasan: