29 November 2012

Kubur dalam hutan sawit

15 Muharram 1433H. [MOD] -

Kubur dalam hutan sawit
Penduduk menunjukkan sebahagian batu nisan yang rosak.
Kubur dalam hutan sawit
Penduduk menunjukkan tanah perkuburan di ladang kelapa sawit.
 
SELINSING - Ruang terhad dan persekitaran menyedihkan!  Itulah realiti tapak perkuburan tanah perkuburan ‘terpencil’  di  kawasan Ladang Sawit Eng Thye, Kuala Gula di sini.

Sudahlah lokasinya jauh dari penempatan penduduk,  keluasan tanah kubur kurang satu hektar terbiar dikelilingi ‘hutan’ sawit .

Tanah perkuburan ihsan seorang penduduk asal berbangsa Jawa yang mewakafkan tanahnya untuk kegunaan penduduk Kampung Nelayan Kuala Gula sejak 60 tahun dahulu kini sesak.

Wakil penduduk, Razak Md Desa,45, berkata, 500 penduduk menuntut Kerajaan Negeri menyediakan tapak perkuburan baru menggantikan tapak perkuburan tersebut yang jauh dan sukar dikunjungi penduduk.
Menurutnya, pihaknya sudah mengemukakan permohonan mendapatkan tapak tanah perkuburan baru melalui pelbagai saluran sejak 25 tahun dahulu, bagaimanapun sehingga kini tiada tindakan susulan diambil.

“Sejak 60 tahun dahulu, kami terpaksa menanam jenazah keluarga kami di kawasan tanah perkuburan yang jauh dari penempatan dan terletak di tengah-tengah ladang sawit.

“Lebih mengecewakan, penduduk yang hendak menziarahi pusara keluarga terpaksa meminta izin daripada pengurusan ladang untuk pergi ke tapak perkuburan dan tidak dibenarkan membawa cangkul disebabkan bimbang hasil sawit mereka dicuri,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai lebih 20 penduduk kampung mengadakan perhimpunan aman menuntut janji penganugerahan tapak tanah perkuburan baru di kampung mereka ditunaikan.
 
Macam kubur tinggal

Razak berkata, tuntutan mendapatkan tapak tanah kubur baru penting memandangkan bilangan penduduk kampung kini mencecah 700 orang dan dijangka bertambah pada masa hadapan.

Menurutnya, tapak tanah perkuburan Islam baru di Kuala Gula dijangka turut memberi manfaat kepada lebih 300 penduduk yang tinggal dan bekerja di Ladang Chersonese, Alor Pongsu.

“Keadaan tapak perkuburan sedia ada terlalu terpencil dan menyeramkan menyebabkan penduduk jarang mengunjunginya kecuali pada hari perayaan.

“Keadaan itu turut menyebabkan terdapat sebahagian penduduk kampung mengambil keputusan menanam jenazah keluarga mereka di kawasan lebih jauh sehingga ke Kuala Kurau dan Alor Pongsu yang terletak lebih 15 kilometer dari kampung.

“Tuntutan penduduk bukanlah melampau, cukuplah sekiranya tapak baru yang diluluskan dekat dengan kawasan kampung dan memudahkan kami untuk datang menziarah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Wahab Arop, 51, berkata, keadaan tanah perkuburan sedia ada amat menyedihkan apabila sebahagian besar batu nisan rosak akibat dilanggar binatang seperti babi hutan dan lembu.

Menurutnya, selain batu nisan yang rosak, kawasan perkuburan itu turut dicemari dengan najis lembu seolah-olah berkeadaan ‘kubur tinggal’ apabila tiada usaha penyelenggaraan dan membaik pulih tapak berkenaan walaupun ianya tapak perkuburan utama penduduk.

“Sebelum ini, penduduk turut memohon pembinaan pagar di keliling tapak perkuburan itu bagi mengelakkan serangan binatang buas dan meminta kemudahan jalan untuk ke lokasi berkenaan dinaik taraf demi kemudahan kami.

“Namun, sehingga kini kami tidak menerima sebarang maklum balas daripada Kerajaan Negeri dan wakil rakyat terdahulu dan terpaksa membiarkan tanah kubur seperti sedia ada disebabkan kami juga tidak mampu untuk membiayai kos membaik pulih,” katanya.

Kecewa kampung terpinggir

Bagi nelayan, Rosdi Che Ros,42, pula, penduduk kampung kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri meminggirkan keperluan mereka di kampung itu apabila permohonan untuk memperbesarkan masjid juga turut diketepikan sehingga kini.

Menurutnya, keadaan masjid sedia ada kini semakin sesak sehingga menyebabkan sebahagian penduduk terpaksa menunaikan solat Jumaat di masjid terletak di kawasan lebih jauh.

“Bagaimana Kerajaan Negeri boleh meluluskan perlaksanaan projek akuakultur di Pulau Gula seluas 320 hektar, tetapi permohonan penduduk untuk mendapatkan tanah kubur dan menaik taraf masjid sering diketepikan.

“Di sebalik usaha Kerajaan Negeri mewartakan Kuala Gula sebagai kawasan eko-pelancongan yang menjadi tumpuan masyarakat dunia, sejauh mana usaha mereka menaik taraf pembangunan di sini agar selari dengan keperluan semasa.

“Kami tidak mahu sekadar ditaburi janji kosong dan menggesa permohonan kami diberi pertimbangkan serius memandangkan majoriti penduduk merupakan penyokong Barisan Nasional(BN),” katanya.
 
Adun minta kerajaan prihatin

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Selinsing, Husin Din ketika dihubungi menggesa perkara ini diberi keutamaan segera oleh Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah(PDT) Kerian memandangkan isu tanah kubur merupakan keperluan utama penduduk.

“Saya maklum mengenai isu ini, namun saya tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan fungsi wakil rakyat parti pembangkang dipinggirkan sehinggakan kami tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat majlis tindakan daerah.

“Sekiranya kami tidak dijemput, bagaimana kami hendak menyalurkan permasalahan rakyat kepada Kerajaan Negeri? Lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri sedia ada ditadbir oleh Barisan Nasional(BN).
“Justeru, kami ketandusan saluran dan sekadar mengharapkan sidang Dewan Undangan Negeri(Dun) untuk mengemukakan permasalahan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha berkata, Kerajaan Negeri melalui pentadbiran daerah Kerian sememangnya memandang serius permohonan penduduk kampung untuk mendapatkan tanah perkuburan baru memandangkan tapak perkuburan sedia ada dikenal pasti tidak sesuai.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih dalam proses mencari tapak sesuai bagi tujuan itu susulan beberapa lokasi yang dicadangkan sebelum ini memerlukan kos pembayaran pampasan yang amat tinggi.

“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri mengenal pasti sebidang tanah dengan keluasan enam hektar yang terletak bersebelahan bangunan Klinik Komuniti Kuala Gula dianggap sesuai untuk dijadikan tapak perkuburan baru.
“Bagaimanapun, kami tengah menunggu laporan pengesahan nilai harga tanah itu daripada jurunilai bagi membolehkan perbincangan lanjut dibuat dengan pemilik tanah, syarikat Sime Darby.

“Sekiranya rundingan dengan syarikat berkenaan mendapat hasil positif, Kerajaan Negeri akan memikirkan cara untuk mendapatkan dana bagi membiayai kos pembayaran pampasan kepada tuan tanah,” katanya.

Zaili meminta penduduk kampung bersabar dan menegaskan perkara ini sudah berada dalam pengetahuan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

“Dalam lawatan Menteri Besar ke Kuala Gula pada Jun lalu, beliau sendiri memberi jaminan kepada penduduk kampung untuk menyelesaikan tuntutan tapak perkuburan baru dan proses rundingan dengan Sime Darby kini di peringkat lebih serius.

“Justeru, saya meminta perkara ini tidak dipolitikkan memandangkan ianya tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: