23 November 2012

Sarawak berhak untuk royalti petroleum 20%

9 Muharram 1433H. [MOD] -

Pemuda PAS Sarawak dan Pemuda Pakatan Rakyat Sarawak memandang serius
isu royalti petroleum Sarawak yang kini hanya pada kadar 5%.
Berdasarkan perangkaan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit
Negara 2011, kadar 5% ini adalah berjumlah RM 2.05 bilion, meningkat
lebih 18% berbanding tahun sebelumnya.

Pemuda Pakatan Rakyat Sarawak tidak menafikan bahawa ini adalah satu
jumlah yang besar namun, persoalan yang harus difikirkan oleh setiap
rakyat Sarawak ialah adakah ini memadai? Dengan kadar kemiskinan
ketiga tertinggi di Malaysia iaitu pada kadar 5.3%, Indeks Pembangunan
Jalanraya (RDI) yang tercorot pada kadar 0.38 dan kira-kira 1/3
rakyat Sarawak masih belum mendapat bekalan elektrik dan air bersih,
adakah jumlah ini adil untuk kebajikan rakyat Sarawak?

Sekiranya kadar royalti ini dinaikkan kepada 20%, sebenarnya, jumlah
yang akan diperoleh oleh Sarawak akan menjadi jauh lebih besar iaitu
sekitar RM 8.2 bilion. Sebagai perbandingan, jumlah ini adalah 3 kali
ganda lebih besar daripada keseluruhan peruntukan Kerajaan Persekutuan
untuk BRIM 1.0 untuk seluruh Malaysia. Dan perlu diingatkan di sini
bahawa, rakyat Sarawak sebenarnya hanya menerima sekitar 4% daripada
keseluruhan bajet BRIM 1.0 walaupun negeri ini mempunyai bilangan
keluarga miskin ketiga teramai di Malaysia. Jelas, tawaran royalti 20%
ini jauh lebih bermanfaat untuk rakyat Sarawak berbanding BRIM!

Segala fakta di hadapan kita ini nyata menunjukkan bahawa kerajaan BN
bukanlah juara rakyat Sarawak. Hasil bumi negeri ini seharusnya
digunakan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat Sarawak
terlebih dahulu sebelum ia digunakan untuk kebaikan bersama di
peringkat persekutuan. Konsep keadilan ini sememangnya menjadi
intipati ajaran Islam yang mementingkan pengagihan hasil negeri dan
negara secara saksama dan ‘equitable’ demi kesejahteraan rakyat.

Konsep ini jugalah yang sebenarnya menunjangi tuntutan PAS dan Pakatan
Rakyat dalam tawaran Buku Jingga kami yang mahukan kadar royalti bagi
negeri-negeri pengeluar petroleum termasuklah Sarawak dinaikkan kepada
20%. Ini bukanlah tuntutan melampau malahan ia adalah satu tuntutan
yang sangat adil kerana realitinya ialah rakyat Sarawak adalah jauh
lebih memerlukan kepada dana tersebut berbanding Putrajaya.

Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat Sarawak di semua peringkat
berfikir sejenak tentang masa depan kita. Sampai bilakah kita harus
terus dibiarkan terpinggir tanpa pembelaan di bumi yang serba bertuah
ni? Kita tidak memerlukan ihsan sesiapa, yang kita mahukan ialah
keadilan dan kesetaraan. Kita tidak kepingin hak orang lain, yang kita
mahukan hanyalah hak royalti kita!

ROYALTI 20%, HAK KITA!

KENYATAAN MEDIA RASMI PEMUDA PAS SARAWAK

Tiada ulasan: