17 Disember 2012

Bertam PM 307: Pertahan kedaultan Terengganu

3 Safar 1433H. [MOD] -

Soalan lisan saya di Persidangan Dewan Undangan Neegeri Terengganu berhubung dengan status hak milik kerajaan Terengganu ke atas penemuan kawasan minyak di medan minyak Bertam PM 307 akhirnya di jawab oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Jawapan yang diberikan oleh beliau amat memeranjatkan banyak pihak. Tanpa berselindung, beliau telah memberikan beberapa fakta penting mengenai penemuan hasil minyak di kawasan tersebut.

Beliau menyatakan bahawa;

"Kita (Kerajaan Terengganu) menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu...

Dengan penemuan rizab tambahan ini, Terengganu dijangka memperoleh tambahan royalti sebanyak RM100 juta setahun atau bergantung kepada anggaran pengeluaran."

Berpandukan jawapan ini, kawasan medan minyak yang baru di temui di Blok PM 307 Bertam yang terletak di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang kini sah menjadi milik rakyat Terengganu.

Medan minyak itu terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan sempadan Terengganu dan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Ahmad Said juga turut mengesahkan bahawa kerajaan negeri ada menulis surat kepada Petronas mengenai status penemuan minyak itu, namun sehingga kini belum lagi menerima jawapan.

Namun pendedahan terbuka Menteri Besar Terengganu ini mempunyai implikasi undang-undang dan kedaulatan sesebauh negeri yang bernaung di bawah sistem Persekutuan.

Yang paling penting adalah tindakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak yang terlebih dahulu mengistiharkan pada  30 Oktober lalu bahawa negeri Pahang dan bukannya Terengganu berhak menerima royalti di medan minyak Bertam tersebut.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negeri Pahang dijangka menerima royalti sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Pengumuman ‘anugerah royalti minyak’ oleh Perdana Menteri kepada negeri Pahang ini telah membuka kembali terlalu banyak persoalan besar.

Ia jelas menafikan hak rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu yang berpegang teguh kepada semangat Federalisma dan keluhuran perlembagaan negara.

Begitu juga dengan kedudukan Akta Perjanjian Petrolium yang ditandatangani pada tahun 1975 antara kerajaan negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan bersama Petronas.

Perjanjajian ini jelas menjamin hak royalti sebanyak 5 peratus kepada negeri-negeri yang ditemui hasil minyak dan gas di perairan sempadan negeri masing-masing.

Persoalan besar adalah, apakah perjanjian asal diantara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975 itu sudah tidak diterima-pakai lagi?

Dan apakah setiap penemuan hasil minyak termasuk di Sabah dan Sarawak kini boleh di agih-agihkan kemana-mana sahaja negeri hanya dengan kuasa mutlak Perdana Menteri?

Isu royalti minyak kepada negeri-negeri mula timbul sebaik sahaja Pas berjaya menawan negeri Terengganu pada pilihanraya umum ke 11 tahun 1999.

Pada 5 September 2000, di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed, Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk menarik balik royalti minyak Terengganu.

Beliau menyatakan bahawa “pembayaran royalti lima peratus kepada Terengganu selama 25 tahun oleh Petronas adalah satu kesilapan dan hanya MOU semata-mata’.

Jadi dimanakah maruah dan hak negeri Terengganu  Darul Iman sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan negeri yang berpayungkan Tuanku Al-Sultan, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud?

ni ditambah lagi dengan tindakan ‘mengehsankan’ royalti minyak Terengganu di bawah Dana Khas Persekutuan yang jelas menzalimi rakyat Terengganu yang majoritinya Melayu dan beragama Islam.

Bagi saya apa yang berlaku bukanlah isu hasil minyak yang diperolehi itu berada samada di dalam atau diluar tiga nautika dari persisir pantai negeri.

Kenapa ini tidak berlaku di Sabah dan Sarawak? Apa yang dilakukan adalah kerana dendam dan diskriminasi politik yang berjalan sejak berpuluh-puluh tahun.

Lebih parah lagi mereka sanggup menghina dan menghukum negeri yang 96 peratus penduduknya adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Amat wajar diamati kembali sikap pengasas pertama Petronas, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menunjukkan sifat seorang negarawan tulen.

Beliau berani berdiri dipersada politik tanahair bagi membetulkan fakta yang diselewengkan khususnya dalam perkara pembayaran royalti pertoleum kepada negeri Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri lain.
Beliau dengan tegas menyatakan hak royalti kepada mana-mana negeri termasuk Terengganu dan Kelantan mesti ditunaikan oleh Petronas berpandukan kepada perjanjian asal pada tahun 1975.

Isu hak royalti minyak Bertam kepada negeri Terengganu adalah persoalan kedaulatan dan maruah negeri yang berdaulat.

Setiap rakyat Terengganu biarpun berbeza pandangan politik dan parti, semestinya mempertahankan hak ini demi kebaikan negeri Darul Iman ini.

Semua rakyat Terengganu yang sayangkan negerinya harus bersatu dalam mempertahankan hak negeri daripada diambil oleh negeri lain.

harakahdaILY/-



Tiada ulasan: