17 Disember 2012

Rakyat T'ganu diajak bersatu pertahan hak

3 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu, tanpa mengira fahaman politik, diajak untuk mempertahankan hak dan kedaulatan Terengganu dalam isu pemilikan telaga minyak baru PM 307, Bertam.

Adun Batu Burok, Terengganu, Dr Syed Azman Ahmad  Nawawi (gambar) dalam tulisannya di Harakahdaily berkata, isu hak royalti minyak Bertam kepada negeri Terengganu adalah persoalan kedaulatan dan maruah negeri yang berdaulat.

Setiap rakyat Terengganu biarpun berbeza pandangan politik dan parti, semestinya mempertahankan hak ini demi kebaikan negeri Darul Iman ini, tulisnya.

"Semua rakyat Terengganu yang sayangkan negerinya harus bersatu dalam mempertahankan hak negeri daripada diambil oleh negeri lain," katanya dalam tulisan itu.


Isu ini menjadi panas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan telaga minyak yang baru ditemui PM 307, Bertam adalah di perairan Pahang.

Oleh itu, Pahang dijangka akan mula menerima sumbangan wang ehsan sebanyak RM100 juta setahun mulai 2015.

Namun dalam sidang DUN Terengganu baru-baru ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said memaklumkan ia adalah dalam kawasan perairan Terengganu.

"Kita (Kerajaan Terengganu) menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu," jawab Ahmad Said kepada soalan yang dikemukakan oleh Dr Syed Azman di dalam sidang DUN baru-baru ini.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: