04 Disember 2012

Pampasan RM207b: Harapan mangsa jika Pakatan menang

20 Muharram 1433H. [MOD] -


(Gambar: Rombongan Nizar bertemu dengan Pak Hashim di kediamannya di Changkat Jering baru-baru ini)

TAIPING: Selepas menunggu sekian lama, buruh paksa pembinaan landasan keretapi maut kini menggantungkan harapan mereka untuk mendapat bayaran itu jika Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya umum nanti.

Sehubungan itu juga, mereka berterima kasih kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin di atas inisiatif beliau menubuhkan Sekretariat Jejak bagi menuntut wang pampasan yang dinafikan kerajaan.

Namun Mohamad Nizar ketika ditemui tidak dapat memberikan sebarang jaminan kerana beliau sendiri tidak tahu dimanakah wang itu berada kini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno pula sehingga kini senyap seribu bahasa walaupun ia sudah dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Mohamad Nizar.
Terkejut



Salah seorang dari mereka yang masih hidup, Hashim Yaakub, 122, berkata, beliau terkejut dengan maklumat bahawa kerajaan Jepun telah membayar pampasan kepada kerajaan Malaysia sebanyak RM207 bilion sejak lama dahulu, sedangkan beliau tidak mendapat apa-apa.

Perasaan itu dizahirkan beliau ketika menerima kunjungan Mohamad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang di kediamannya di Changkat Jering di sini baru-baru ini.

Beliau yang masih kuat ingatannya menceritakan, beliau menjadi buruh paksa zaman Jepun itu ketika beliau baru berusia 26 tahun.

Menurut Pak Hashim, beliau menjadi buruh paksa selama tiga tahun lapan bulan dan hanya menerima gaji sebanyak 3 bath duit Siam.

Ekoran kehilangannya dan tidak dapat dikesan pada waktu itu, ahli keluarganya telah membuat kenduri tahlil kepada Pak Hashim.

Sebaik selesai perang dunia kedua, Pak Hashim bagaimanapun selamat pulang ke kampung halamannya bertemu keluarga, dan kepulangannya disambut dengan kenduri kesyukuran.

Justeru, dengan perkembangan terbaru ini beliau meletakkan harapan tinggi kepada Pakatan Rakyat agar membela nasib mereka yang telah dinafikan hak mendapat pampasan tersebut oleh kerajaan Barisan Nasional.

Mohamad Nizar dalam pada itu berjanji akan membangkitkan isu tersebut dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang akan bersidang 17 Disember ini.

Malah kata Adun Pasir Panjang itu, satu sidang media bersama bekas buruh dan waris mereka akan diadakan dalam masa terdekat.

Isu landasan maut ini sebelum ini didedahkan Mohamad Nizar Nizar yang mempersoal ke mana perginya wang pampasan berjumlah RM207 billion yang telah dibayar oleh kerajaan Jepun itu.

Nizar berkata seramai 72,000 penduduk Tanah Melayu pada ketika itu dikerah menjadi buruh paksa membina landasan itu dan hanya 30,000 orang daripada mereka yang kembali ke Malaysia sementara selebihnya gagal dikesan.

Sekembalinya mereka ke tanah air, satu pertubuhan dibentuk yang digelar Persatuan Kebajikan Bekas Dan Waris Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Ke Burma Tahun 1942-1946.

Mengikut pecahan, jumlah 30,000 buruh ini mellibatkan 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain.

Nizar berkata, dengan jumlah RM207 bilion itu setiap keluarga dianggarkan layak menerima sehingga RM3 juta wang pampasan.

Sejak didaftarkan secara rasmi pada 11 Januari 2011, persatuan terbabit telah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan dari kerajaan Malaysia tetapi hingga kini masih gagal.

harakah/-

Tiada ulasan: