09 Januari 2013

Tsunami kebangkitan rakyat selepas tsunami politik

26 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Keyakinan Umno BN bahawa 'tsunami politik' sudah berakhir disifatkan sebagai bercanggah dengan realiti yang berlaku di negara ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr. Hatta Ramli berkata, walaupun 'tsunami politik' dikatakan sudah berakhirm namun kerajaan Umno BN terpaksa menghadapi 'tsunami kebangkitan rakyat'.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan bahawa 'tsunami politik' pada tahun 2008 sudah berakhir apabila kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib razak melakukan banyak perubahan.

"sekurang-kurangnya (Datuk) Ahmad Maslan mengakui wujud 'tsunami politik' dan kata ia sudah berakhir.

"Ini bermakna, bukan kita sahaja yang kata ada tsunami politik tahun 2008 tetapi Umno sendiri mengaku.

"Sebenarnya tsunami semakin kuat dengan kebangkitan rakyat berdasarkan kesedaran dan kefahaman rakyat sendiri," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, kini BN bangkit semula sebagai sebuah parti yang kuat dan paling kukuh selepas melalui 'tsunami politik'.

Namun kata Dr Hatta, Umno BN dilihat semakin menuju kehancuran dengan pelbagai krisis dalaman.

"Yang semakin merudum ialah Umno dengan politik tuduh menuduh sesama sendiri, sekarang timbul pula usaha jatuhkan Najib dengan kata Najib sakit. Ini bukan semakin pulih tapi semakin teruk.

"Politik fitnah tak habis-habis dan cuba membangkitkan semula isu lapuk yang sudah lama tidak didengar," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Tambah beliau, 'tsunami kebangkitan rakyat' semakin menyerlah apabila semangat rakyat berkobar-kobar untuk turun ke Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) pada 12 Januari ini bagi menuntut kerajaan yang bersih.

"Azam rakyat untuk turun beramai-ramai ke HKR semakin meluap-luap.

"Walaupun tiada publisiti daripada media kerajaan, tetapi maklumat yang tersebar melalui laman sosial dan media alternatif menyebabkan rakyat tahu mengenai HKR ini," katanya.
Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Tiada ulasan: