09 Januari 2013

Penduduk tidak bimbang ribut

Penduduk tidak bimbang ribut26 Safar 1433H. [MOD] -

Jarak rumah nelayan yang hanya beberapa meter dari pinggir sungai.
KUANTAN – Ramalan Jabatan Meteorologi mengenai Ribut Tropika Sonamu yang kemungkinan melanda negeri Pantai Timur termasuk di Kuantan menimbulkan pelbagai reaksi terutama bagi penduduk yang tinggal di perkampungan nelayan.

Bagaimanapun, bagi nelayan di perkampungan Tanjung Api, di sini, berita tentang ribut berkenaan tidak mendatangkan sebarang kebimbangan kerana situasi air pasang besar sering berlaku.

Wakil Penduduk, Mat Hassan Mamat , 54 berkata, air pasang besar berlaku sekurang-kurangnya sekali dalam setahun dan ia perkara biasa bagi penduduk yang rata-ratanya keluarga nelayan.

Menurutnya, jika air pasang berlaku rumah penduduk akan turut terjejas memandangkan jarak pinggir sungai hanya beberapa meter sahaja.

“Berdasarkan kalendar Islam, air pasang besar biasa berlaku pada 30 hari bulan dan kalau ikutkan belum sampai waktunya.

“Tahun lepas juga berlaku air pasang besar tetapi tahun ini belum menampakkan sebarang tanda lagi.

“Biarpun mendapat berita tentang ribut Sonamu, penduduk di sini hanya meneruskan kehidupan seperti biasa memandangkan air pasang besar bukan perkara luar biasa.

“Bagaimanapun, jika ribut ini melanda kita berserah kepada ALLAH SWT bagi menentukan segalanya dan ketika ini juga nelayan tetap turun ke laut,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, jika air pasang besar berlaku paras air akan naik dan mencecah sehingga paras lutut di dalam rumah.

“Kalau air pasang besar berlaku, air memang membanjiri kampung ini dan air akan melimpah masuk ke dalam rumah.

“Tidak dinafikan penduduk akan menanggung kerugian kerana barangan di dalam rumah terutama barangan elektrik akan rosak.

“Tetapi setakat ini, tiada sebarang kemalangan jiwa pernah berlaku dan penduduk di sini tidak membuat sebarang persiapan bagi berhadapan ribut Sonamu,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: