01 Februari 2013

Muka tercucuk serpihan kaca

Muka tercucuk serpihan kaca20 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Lori dipandu Tio Hok yang merempuh tiang kabel Telekom dalam kejadian di Jalan Dato Haji Kosai, berdekatan Parit Raja, malam kelmarin.
 
MUAR – Seorang lelaki nyaris maut selepas lori yang dipandunya merempuh tiang kabel Telekom di hadapan Jalan Dato Haji Kosai, berdekatan Parit Raja di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam, Tiam Tio Hok, 50an, dari Batu Pahat, cedera parah di muka selepas terkena serpihan kaca ekoran cermin depan lori yang pecah akibat rempuhan tersebut.

Lebih malang, seorang orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian tercedera di kepala kerana dihempap tiang Telekom tersebut ketika cuba menghalang lori lain daripada melintasi jalan berkenaan.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selepas 10 minit kejadian untuk rawatan lanjut dengan bantuan orang ramai.

Difahamkan, lori tersebut dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat.

Akibat kemalangan itu, kedua-dua arah laluan di situ sesak hampir satu kilometer kerana dua tiang kabel Telekom tumbang menghalang lalu lintas.

Saksi kejadian, Abdul Hadi Menhad, 22, berkata, kabel elektrik itu mengendur disebabkan sebelum ini pernah dilanggar dua treler ketika melalui jalan berkenaan.

“Apabila lori ketiga (lori terlibat hari kejadian) melintasi jalan tersebut, kabel itu tersangkut di kepala lori, lalu tertarik kabel sehingga jarak kira-kira 12 meter dan mengakibatkan dua tiang kabel itu tumbang ke tengah jalan dan satu lagi bengkok,” katanya.

Katanya, kemalangan yang berlaku di hadapan kedai runcit bapanya itu menyebabkan kesesakan jalan di situ sehingga memaksa kenderaan lain menggunakan jalan kampung untuk ke bandar Muar atau menghala ke Batu Pahat.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: