01 Februari 2013

Tok Bali bakal berubah wajah

20 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

PASIR PUTEH: Tok Bali, bakal berubah wajah apabila pelbagai projek pembangunan bercampur bakal dibina melalui kerjasama empat syarikat swasta tidak lama lagi.

Projek pembinaan itu dilaksanakan oleh Majlis Daerah Pasir Putih dengan kerjasama empat buah syarikat swasta melibatkan keluasan tanah 2,600 ekar di Semerak dan Tok Bali.

Empat syarikat terbabit, East Coast Terminal Sdn  Bhd, BBGM Development Sdn Bhd, Hlk Ventures Sdn Bhd dan Syarikat Pembinaan Lepadu Sdn Bhd.

Majlis perjanjian itu ditandatangani oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Putih, Nazran Muhammad, bersama wakil-wakil dari empat syarikat terbabit dengan disaksikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di sebuah pusat peranginan, di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Che Abdullah Md Nawi, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Datuk Meja (B) Md Anizam Abdul Rahman.

Untuk permulaan projek, East Coast telah menyumbang sebanyak RM32 juta, BBGN, RM4.8 juta, Hlk, RM3.4 juta Syarikat Pembinaan Lepadu RM3.3 juta.

Antara projek yang bakal dilaksanakan oleh empat syarikat itu, kediaman, pembangunan bercampur, masjid, pasaraya, rumah tumpangan, stesyen minyak, pembangunan komersial dan lain-lain lagi.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu, mengingatkan pemaju supaya tidak menutup tanah-tanah yang mempunyai paya walaupun kecil.

Menurutnya, sebaliknya kawasan terbabit dipelihara untuk dijadikan taman haiwan sebagai destinasi pelancongan.

“Kita boleh jadikan kawasan terbabit sebagai tempat menternak madu kelulut sebagaimana yang tela diusahakan oleh pesara HUSM di Kampung Hilir, Kubang Kerian," katanya.

harakah/-

Tiada ulasan: