14 Februari 2013

PRU 13: AHLI PAS PERAK DIMINTA BERSEDIA

3 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Badan Perhubungan PAS Negeri Perak menggesa Ahli PAS seluruh negeri Perak untuk menaikkan bendera PAS di setiap Rumah mereka bagi menunjukkan kesediaan PAS Perak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 pada bila-bila masa sahaja lagi. Malah PAS Perak juga turut yakin semua Bilik Gerakan di setiap Unit Peti Undi (UPU) telah mula digerakkan untuk dihiasi dengan bendera dan logo Parti diselangi dengan pertemuan kerap antara jentera termasuk dengan Parti Komponen dari PKR dan DAP.

Kehangatan bahang PRU 13 sudah semakin dirasai dengan melihat Barisan Nasional (BN) juga telah menaikkan bendera-bendera mereka termasuk arahan membuka 7,531 Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN di 222 kawasan parlimen seluruh negara  yang telah dimaklumkan oleh Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno Malaysia. Situasi ini jelas menunjukkan betapa hampirnya PRU 13 dengan pelbagai program yang menyalahgunakan jentera kerajaan telah diadakan dengan lebih kerap bagi meraih undi rakyat.

Kami yakin sejarah kejatuhan BN Perak pada PRU 12 tahun 2008 mampu diulangi kembali kerana BN ternyata gagal menggunakan tempoh selama tiga tahun selepas ‘rampasan kuasa’ bagi memberi keyakinan kepada rakyat terhadap akauntibiliti dan ketelusan mereka mentadbir negeri tanpa penyalahgunanaan kuasa dan rasuah. Apa yang berlaku pada Sambutan Tahun Baru Cina BN Pulau Pinang yang lalu adalah antara contoh nyata penolakkan rakyat terhadap pemerintahan BN. Malah insiden yang sama pernah berlaku di Perak selepas ‘rampasan kuasa’ dalam sambutan yang dihadiri oleh Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir apabila beliau ‘diboo’ oleh hadirin.

Marilah kita tunggu kemuncak tarikh PRU 13 yang akan diumumkan dengan menyemarakkan bendera dan logo Parti bagi membuktikan bahawa kita dari Pakatan Rakyat (PR) sudah bersedia bagi berdepan dengan BN pada PRU 13 ini nanti. Malah kita di Perak sudah lama menantikan PRU 13 ini bagi mengembalikan kuasa rakyat yang telah dirampas selain menunjukkan kita tidak bertindak di luar lunas undang-undang demi mementingkan kuasa seperti dimomok-momokkan oleh BN bahawa PR akan melakukan huru-hara jika kalah di dalam PRU 13. Apa yang jelas sikap BN yang sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa mereka haruslah dihentikan pada PRU 13 kali ini.

DR AHMAD NURI AL-AMIN
Ketua Penerangan,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

Tiada ulasan: