29 Mac 2013

Cerita pengalaman Lahad Datu

17 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Cerita pengalaman Lahad Datu

Abu Bakar berkongsi pengalamannya di Lahad Datu dengan penduduk di Simpang Renggam.
SIMPANG RENGGAM - “Saya hampir terkena tembakan rambang yang dilepaskan pengganas sewaktu menjalankan pemantauan di beberapa kawasan di Lahad Datu,” cerita Sarjan Abu Bakar Magio berkongsi pengalaman cemasnya ketika ditugaskan menjaga keamanan di Sabah.

Beliau yang merupakan anggota daripada Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak adalah pasukan pertama dihantar ke Lahad Datu bagi menangani pencerobohan pengganas di situ.

Sepanjang bertugas Abu Bakar tidak dapat melupakan insiden dirinya hampir terkena tembakan rambang oleh pengganas yang menggelar diri Tentera Diraja Kesultanan Sulu.

“Bukan sekali tetapi lebih kurang tiga hingga empat tembakan hampir terkena kepala. Mujurlah kawasan di situ dikelilingi kelapa sawit, jadi peluru tersasar.

“Pengganas buat tembakan rambang khususnya di kawasan Kampung Tanduo yang menjadi kubu.

“Detik paling mencemaskan kami pada hari Jumaat 1 Mac pukul 10 pagi, apabila pengganas menaikkan bendera putih yang bermaksud mereka mengalah dan mahu berdamai.

“Malangnya anggapan itu tak betul malah anggota pula terkorban. Sebenarnya tujuan mereka naikkan bendera putih kerana mahu berperang dan mati syahid. Mereka ini banyak tipu muslihat,” katanya.

Menurutnya, sewaktu kejadian berbalas tembakan, dia bersama beberapa anggota di atas bukit ditugaskan menjadi pasukan pemerhati kira-kira tiga meter daripada kubu pengganas.

Pasukan pemerhati itu adalah barisan hadapan yang menjalankan tugas pemantauan di samping membantu melindungi pasukan gempur yang berada di bahagian bawah dan lebih dekat dengan pengganas.

“Namun, perlindungan yang diberi tidak mampu menyelamatkan anggota gempur di bahagian bawah hingga beberapa anggota terkorban.

“Tapi, semangat kami tidak pernah pudar malah bersemangat melawan pengganas di Lahad Datu.

“Saya bersama lima anggota dalam pasukan pemerhati pernah di kepung di kawasan ladang kelapa sawit tetapi kami dapat menyelamatkan diri ke tempat yang tidak boleh di jangka oleh pengganas.

“Hanya doa dan laungan kalimah Allahuakbar saja yang boleh menaikkan semangat kami untuk terus berhadapan dengan pengganas di Lahad Datu,” katanya yang diberi cuti sehingga 31 Mac ini.

Abu Bakar meluahkan rasa syukur dan mengakui redha sekiranya terkorban ketika bertugas mati dalam syahid.

“Perasaan takut itu sudah tiada. Masa itu niat hanya mahu mempertahankan dan menyelamatkan  Sabah daripada pengganas.

“Saya harap keadaan di sana akan cepat pulih. Saya mungkin akan dihantar ke Sabah semula selepas melapor diri pada Ahad ini di Kem PGA Ulu Kinta Perak,” katanya.

Abu Bakar berkongsi pengalaman pada majlis menyambut kepulangannya di Kampung Shaari, di sini, semalam.

Dia  sama sekali tidak menduga kepulangannya menziarahi ibunya, Sariam Rostam, 84, yang sakit di sambut meriah penduduk kampung.

Dia melahirkan rasa gembira dapat berjumpa isteri dan empat anaknya. Turut menyambut kepulangannya ialah Adun Machap, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman dan Adun Layang-Layang, Onn Mohd Yassin.

Sinar harian/-

1 ulasan:

otaklunyai berkata...

Hanya Allah yg menjadi pelindung dan penyelamat.Kalau dah namanya musuh, mereka akan datang dgn berbagai muslihat, tipu daya dan helah. Apa yang amat2 penting adalah diri kita sendiri atau pasukan kita sendiri... bagaimana hubungan kita dgn Allah S.W.T. adakah kita jaga amal-ibadat atau talian hayat kita dgn Allah S.W.T. atau bila dah tersepit je baru ingat Allah S.W.T. Kalau dizaman Para Sahabat dulu... pejuang2 hanya dipilih dari orang2 yg. baik hubungannya dgn Allah S.W.T terutamanya dari segi solat, malah pejuang2 hanya dipilih dari kalangan mereka yg bangun malam (solat dan ibadah malam) sahaja. sebab itu masa perang Badar 300 tentera Islam boleh kalahkan 1000 tentera kafir laknatullah... agak2 kita ni macam-mana... mana tahap kita... sekarang ni musuh kita yg rasmi kurang-lebih 200 org... kita berapa batalion... terbalik jadinya... jadi marilah kita betul2 bermuhasabah diri dan bermuhasabah dgn sikap pemerintah yg ada sekarang ni dalam menjaga hubungan dgn Allah S.W.T dan Islam itu sendiri... bukan nak memperkecilkan kecanggihan persenjataan kita atau semangat perwira kita, tapi marilah kita renungkan USA yg amat hebat persenjataannya dan keanggotaan tentera pun tewas di tangan pejuang2 Islam yg Tawaddhuk kpd Allah S.W.T. Kita kena beriman, hanya Allah S.W.T Yg Maha Gagah adalah pelindung kita. Yg ada pada kita hanya ikhtiar. Selebihnya adalah Tawakkal kpd Allah. Jangan kita tertipu dgn cara kafir dgn mendabik dada dgn kecanggihan, semangat dan kemahiran namun kufur kepd Allah yg akhirnya membawa kpd kemusnahan didunia dan akhirat.. Kita masih bertuah kerana masih dikurniakan pertolongan dan rahmat Allah kerana masih ada insan mulia yg Tawadhuk dan Bertakwa kpd Allah dgn sebenarnya... kita kena akui itu. Tapi kita secara keseluruhannya dimana.. apakah cukup dgn berharap kpd org lain tanpa sedikit rasa insaf dalam diri kita... sesungguhnya dgn apa yg berlaku adalah petunjuk dari Allah S.W.T supaya kita bertaubat dan kempali kpd suruhanNya. Wallahualam.