01 Mac 2013

Hampir 20 tahun tiada bekalan elektrik

18 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Hampir 20 tahun tiada bekalan elektrik, akhirnya pemilik lebih 10 buah rumah di Jalan Simpang Renggam – Kulai berhampiran Kampung Bukit Nyamuk, Simpang Renggam terpaksa membuat keputusan untuk berpindah selepas harapan untuk memiliki bekalan elektrik selama ini dilihat seperti tiada penghujungnya.
Mohd Ja’afar Sari telah berniaga buah-buahan selama 20 tahun tanpa bekalan elektrik.

Kini jiran Mohd Ja’afar hanyalah tinggal sebuah kilang arang, sebuah kilang papan dan sebuah ladang ternakan kambing, lapor Nusajaya Kini.

Bagi peniaga kedai buah-buahan seperti Mohd Ja’afar terpaksa menanggung kos bahan api sebanyak RM300 sebulan berbanding RM100 jika menggunakan bekalan elektrik TNB.

Pemilik kilang papan dan ladang ternakan kambing Mohd Tan Chan Abdullah juga menghadapi masalah yang sama sejak 18 tahun yang lalu.

Kos sebanyak RM7,000 sebulan terpaksa dibelanjakan untuk membeli minyak diesel bagi menghidupkan generator berbanding kos hanya sekitar RM2,000 sekiranya menggunakan bekalan elektirk TNB.

Pemohonan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dilakukan sebanyak dua kali dan juga pemakluman kepada Onn Mad Yassin (Adun Layang-layang) sebanyak tiga kali. Setakat ini tiada sebarang tindakan dibuat.

Difahamkan juga, jarak antara kampung berkenaan dengan punca elektrik dalam lingkungan 2 kilometer dan ia bukanlah satu alasan untuk tidak menyambungkan bekalan elektrik ke kampung berkenaan.

Tanah yang didiami penduduk di kampung itu berstatus penempatan perkelompok (GSA). Ini bermakna tanah sekitar Bukit Nyamuk adalah milik peribadi.

Jika terdapat bekalan elektrik di kawasan ini, maka ramai akan berpeluang membina rumah di kawasan terbabit.

Pihak TNB tiada sebarang masalah untuk membekalkan elektrik di kawasan itu jika terdapat peruntukan yang mencukupi daripada pihak kerajaan.

Justeru pihak kerajaan khususnya Pegawai Daerah Kluang wajar mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk kawasan itu.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: