01 Mac 2013

Kain rentang: Pemuda PAS dibebas, tiada sabitan kes

18 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


BEBAS...Badaruddin (berkaca mata) bersama empat pemuda PAS berkenaan..

MARANG: Empat Pemuda PAS dari Kampung Jerung Seberang, Wakai Tapai yang ditahan reman kerana laporan 'fitnah' oleh Pengerusi Penaja Penubuhan Umno Cawangan Bukit Chempedak dibebaskan petang semalam.

AJK PAS Dun Pengkalan Berangan, Badaruddin Ismail berkata, mereka yang terdiri Roslam Abdullah, 35, Rosdi Abdullah, 34, Muhammad Lukman Abdullah, 28, dan Muhamad Musa, 38, dibebaskan kira-kira jam 5.00 petang dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.
Beliau berkata, pihak polis memaklumkan mereka dibebaskan dengan jaminan polis kerana tidak ada sabitan kes.
"Saya dimaklumkan oleh IO (pegawai penyiassat) kes tersebut, Inspektor Wan Afzan Wan Mukhtar tidak ada sabitan kes, (mereka) dibebaskan dengan ikat jamin polis," ujarnya dipetik Buletin Online.

Katanya, pembebasan mereka merupakan satu penjelasan kepada 'fitnah' terhadap laporan media bersumberkan kepada laporan yang dibuat ketua penaja cawangan Umno itu.

"Ini bukti laporan akhbar tidak tepat, berdasarkan laporan 'fitnah' semata-mata dan juga bukti jelas pemasangan kain rentang yang tidak bermoral dan penuh fitnah itu telah mencetus situasi yang tidak aman dalam masyarakat," tambahnya.

Empat pemuda tersebut yang ditahan pada 25 Februari lalu ekoran tindakan berani mereka bertemu dengan ketua penaja Umno Cawangan Bukit Cempedak yang baru ditubuhkan yang meminta supaya satu kain rentang yang memfitnah PAS diturunkan.

harakah/-

Tiada ulasan: