08 Mac 2013

‘Nasib baik minta rokok’

25 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Lahad Datu: Seorang lelaki dari kampung Tanjung Batu melalui saat cemas apabila ditahan sekumpulan tujuh lelaki bersenjata ketika menunggang motosikal pulang ke rumahnya tetapi nasib baik kumpulan penceroboh bersenjata itu hanya meminta rokok, Isnin lalu.

Abdul Rahman Seilani, 53, yang berkata dia terserempak dengan sekumpulan kira-kira tujuh lelaki bersenjata berpakaian celoreng di jalan raya di kampung itu, kira-kira jam 9 pagi.

“Ketika lalu di depan mereka, seorang daripada mereka meminta rokok daripada saya dalam bahasa Melayu.

“Saya memberikan sekotak rokok yang saya ada dan mereka memberikan RM50 tetapi saya tidak mengambilnya,” katanya ketika ditemui Dewan Fajar Harapan di Felda Sahabat 130 kilometer dari sini, semalam.

Bimbangkan keselamatan dirinya, Abdul Rahman mengambil keputusan segera meninggalkan kampung menerusi pesisir pantai ke Kampung Tanjung Labian yang terletak bersebelahan.

“Saya kini tinggal bersama anak di kuarters pekerja FELDA di Fajar Harapan,” katanya.
Dewan FELDA Harapan di FELDA Sahabat itu menempatkan penduduk dari tujuh kampung yang berpindah berikutan tindakan pasukan keselamatan menggempur kedudukan pengganas di Kampung Tanduo.

Seorang lagi penduduk, Yusof Sarang, 58, berkata kira-kira 40 penduduk kampung meredah air pasang hingga paras lutut untuk ke Tanjung Labian melalui pantai sebelum ke Dewan Fajar Harapan.
Beliau mengambil keputusan membawa isteri dan tiga anak berpindah segera apabila mendengar berita mengenai kehadiran individu bersenjata di kampung itu. “Kami hanya membawa sedikit pakaian dan kini menumpang di rumah anak saudara di Fajar Harapan,” katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: