15 Mac 2013

Rayuan bekas tentera

3 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KOTA TINGGI – Bekas anggota keselamatan Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD Wataniah) yang diserang angin ahmar enam tahun lalu merayu permohonannya untuk mendaftar sebagai ahli Persatuan Bekas Perajurit Malaysia (PBPM) diluluskan.

Othman Awang Tek, 61, berkata, permohonannya ditolak atas alasan rekod perkhidmatan selama empat tahun tiada dalam perkhidmatan persaraan selain nombor tenteranya tiada dalam data.

"Kerana masalah itu, saya sukar membuat sebarang permohonan bantuan termasuk gagal dapatkan bayaran Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) sebanyak RM1,000 yang diagihkan baru-baru ini," katanya.

Dia ditemui di rumahnya di Taman Aman, dekat sini selepas menerima kerusi roda daripada Ahli Parlimen Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar ketika melakukan lawatan ke rumah warga emas tersebut.

Othman berkata, dia memulakan karier sebagai atendan hospital pada 1974 sebelum dipilih menganggotai PSTD Wataniah dua tahun selepas itu.

Menurutnya, selepas bersara dari unit itu pada 1990, dia meneruskan semula karier di perkhidmatan awam sebagai atendan di Hospital Kota Tinggi (HKT) sehingga bersara pilihan pada 2006 kerana menghidap strok dan didaftarkan sebagai OKU.

“Saya bersyukur dan terharu dengan keprihatinan wakil rakyat yang datang menghulurkan bantuan selepas mendapat tahu masalah yang saya hadapi.

“Sekurang-kurangnya, bantuan ini dapat meringankan beban saya yang sudah tidak punya tenaga untuk bekerja. Dengan adanya kerusi roda ini, pergerakan saya akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Hadir sama pada lawatan itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Negeri Johor, Leftenen Kolonel Mohd Salleh Che Hassan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Kota Tinggi, Omar Ibrahim berkata, persatuan akan sedaya upaya membantu kebajikan bekas tentera mengatasi sebarang masalah dihadapi selepas tidak lagi berkhidmat dalam pasukan tentera.

"Saya akan cuba membantu menyelesaikan masalah Othman dengan merujuk kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan maklumat terperinci,” katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: