10 Mac 2013

Tragedi kerja sambilan

27 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Tragedi kerja sambilan

Rohana menceritakan keadaan anaknya kepada Wan Azlan ketika melawat Muhammad Zulhakimi di HTAA.
KUANTAN - Hasrat seorang remaja mencari duit saku untuk mendapatkan lesen motosikal bertukar tragedi apabila dia disahkan lumpuh selepas terjatuh pada hari pertama bekerja.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Pelabuhan, Muhammad Zulhakimi Mat Ripin yang bekerja sambilan sebagai kelindan lori, mengalami kecederaan pada tulang belakang hingga menyebabkan dia lumpuh.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 24 Februari lalu ketika dia sedang memunggah besi paip seberat lebih satu tan di sebuah kilang di Kerteh, Terengganu.

“Saya berada di atas lori, namun tiba-tiba sebatang besi paip diangkat forklif terjatuh menyebabkan saya terkejut dan tergelincir.

“Bahagian belakang saya terkena besi itu menyebabkan tulang belakang patah tiga dan bahagian kecil hancur,” katanya.
Muhammad Zulhakimi yang merupakan anak kedua daripada enam adik-beradik itu menerima rawatan awal di Hospital Sultanah Nur Zahirah
Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini.

Muhammad Zulhakimi berkata, ketika kejadian, dia hanya kebas di bahagian kaki sehingga tidak mampu berdiri.
Katanya, dia tidak menyangka insiden hari pertama bekerja itu menyebabkan dia lumpuh seumur hidup.

Bagi ibunya, Rohana Abdul Ghani, 42, anak lelakinya itu sering mengambil peluang cuti hujung minggu untuk bekerja sambilan, namun tidak menyangka bakal berdepan kejadian seumpama itu.

“Buat masa ini, doktor memberitahu akan melakukan pembedahan untuk memasukkan besi pada bahagian belakangnya,” katanya.

Sebelum itu, Muhammad Zulhakimi menerima lawatan Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Seluruh Mukim Beserah dan Sungai Karang diketuai Yang Dipertuanya, Wan Azlan Wan Salleh.

Sinar harian/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Adik ini adalah pekerja bagi maksud Akta PERKESO . Sila ke Pejabat PERKESO berhampiran untuk maklumkan kes kemalangan ini. Insya Allah kalau berkaitan beliau akan mendapat perhatian pihak PERKESO dengan sewajarnya......Pergi segera ....