10 Mac 2013

Penduduk Lahad Datu diingatkan jauhi kawasan Op Daulat

27 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Penduduk Lahad Datu diingatkan jauhi kawasan Op Daulat

Anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) keluar dari kampung selepas melakukan pemeriksaan sekitar Kampung Simunul bagi mengesan saki baki pengganas, semalam.
KUALA LUMPUR - Penduduk di Lahad Datu, Sabah hari ini terus diingatkan agar tidak memasuki atau mendekati kawasan operasi atau kawasan yang telah dilabelkan zon merah oleh pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, penduduk diminta memberi kerjasama kerana sehingga kini anggota keselamatan negara masih bertungkus lumus menjalankan operasi Op Daulat bagi menghapuskan kumpulan penceroboh militan bersenjata dari selatan Filipina itu.

"Itu adalah kawasan panas, kita minta penduduk jangan masuk atau hampiri kawasan terlibat ini.

"Selain itu jika ada berita yang disebarkan pihak tertentu sila buat pengesahan di ibu pejabat polis berhampiran, sama-samalah kita membantu pasukan keselamatan untuk memastikan keadaan dan keamanan di Sabah dapat dipulihkan," katanya ketika dihubungi menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) yang disiar secara langsung di TV3, pagi ini.

Op Daulat yang dilancar bagi memburu saki-baki penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina memasuki hari keenam dengan 53 penceroboh militan dilaporkan terbunuh dalam operasi itu.

Sejak pencerobohan militan pada 12 Februari lepas, lapan anggota polis terkorban iaitu dua wira terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Semporna pada 2 Mac. 
- Bernama

Tiada ulasan: