11 Mac 2013

Trend baru makmal proses dadah

28 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Trend baru makmal proses dadah

Wan Abdullah (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas
Trend baru makmal proses dadah

Makmal memproses dadah yang beroperasi di kondominium di Jalan Klang Lama.
Sindiket pengedaran dadah semakin berleluasa dan tidak lagi menyeludup masuk dadah jenis sintetik ke negara ini, sebaliknya ‘mengimport’ pakar dari luar negara untuk memproses dan membuat sendiri dadah di dalam negara.

Pembongkaran makmal dan tangkapan anggota sindiket terbabit bagaimanapun tidak menakutkan pengedar dadah lain untuk meneruskan kegiatan haram itu kerana menyedari perniagaan yang dijalankan amat menguntungkan.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 31 makmal memproses dadah milik sindiket tempatan dan asing berjaya ditumpaskan sejak Januari hingga September tahun lalu.

Setakat ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, telah berjaya mengesan dan menyekat beberapa sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di hotel-hotel atau residensi mewah di sekitar ibu negara.

Tahun lalu, jabatan ini berjaya melakukan sebanyak 30 Ops Waja ke atas sindiket pengedaran dadah warga tempatan dan asing di sekitar Lembah Klang.

Selain daripada itu, operasi khas turut dilancarkan ke atas rumah sewa, premis seperti hotel bajet, pusat internet dan tempat mencuci kenderaan kerana disyaki dijadikan tempat menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kuala Lumpur.

Hasilnya polis berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM2.5 juta, ganja (RM82,400) dan heroin R(M153,800).

Ketua Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Wan Abdullah Ishak berkata, pengaliran dadah sintetik seperti dadah syabu adalah daripada Filipina manakala pil ekstasi kebanyakannya diseludupkan dari Eropah.

"Setakat ini kita telah berjaya  mengesan dan membuat serbuan ke atas enam buah makmal dadah pada tahun lepas manakala dua daripadanya pada tahun ini.

"Modus Operandi  sindiket dadah warga tempatan ini termasuklah  menggunakan  penyeludup Iran dan Nigeria sebagai rakan kongsi bagi menjalankan aktiviti  memproses dadah di makmal yang  diwujudkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, sebanyak 185 tangkapan telah dilakukan setakat ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Melalui kerjasama Jabatan Narkotik dan agensi-agensi penguatkuasaan dadah antarabangsa, seramai 26 rakyat Malaysia telah ditangkap di luar negara kerana  terlibat dalam pengedaran dadah di peringkat antarabangsa.

Katanya, dalam operasi yang dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur sepanjang tahun 2013, sebanyak sepuluh tangkapan anggota sindiket dilakukan di hotel dan kawasan perumahan.

Difahamkan, hasil serbuan sepanjang tempoh lima bulan kebelakangan ini,  polis berjaya merampas sepucuk senjata api jenis Colt’s Government bersama kelopak serta sebutir peluru hidup dan tujuh butir peluru hidup (4.5mm) daripada seorang lelaki yang merupakan
anggota sindiket dadah di Kampung Baru.

Laporan operasi antarabangsa

1. PDRM telah mengambil bahagian dalam International Narcotics Joint Operations di peringkat antarabangsa. Oleh kerana komitmen negara ini, pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengiktiraf Malaysia sebagai Model for countries that need to estabilish more effective control system. Pengiktirafan yang sama turut diberikan oleh Presiden Amerika Syarikat kepada negara kita.

2. Pada 1998 Malaysia telah diiktiraf oleh negara tersebut sebagai bukan lagi negara transit bagi pengedaran dadah antarabangsa. Pihak berkuasa Drug Enforcement Administration - United States Department of Justice telah memberi penghargaan kepada pihak kita For Outstanding Contribution In The Field Of Drug Law Enforcement.

3. Pada 1999, Interpol telah memberi penghargaan kepada langkah-langkah penguatkuasaan yang diambil oleh Malaysia untuk membenteras pengedaran dadah.

Laporan media

Dalam kes terbaru minggu lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur berjaya membongkar makmal mini memproses dadah di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama susulan daripada penemuan mayat seorang lelaki yang merupakan seorang ahli sindiket pengedaran dadah.

Ketua Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Wan Abdullah Ishak berkata, rumah berkenaan telah dijadikan makmal dadah dan dipercayai telah beroperasi hampir tiga bulan lalu.

“Kami menemui dadah jenis Eramine 5 sebanyak 3,500 biji, Ecstacy 1,772 biji, serbuk Ecstacy 550 gram, Syabu 1, 201 gram dan campuran dadah kimia (Sulfurine Acid, Benzene, Hydrocloric Acid, Acetone, Methanol dan Clorofome yang tidak dinilai) bernilai hampir RM1.8 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menemui barangan untuk memproses dadah antaranya, 14 balang botol yang mengandungi bahan kimia, tiga mangkuk kaca, tiga alat penimbang, satu sealer dan satu corong besar penapis kaca.
“Polis percaya mangsa dibunuh kerana bermotifkan dendam," katanya.
Sinar harian/-

Tiada ulasan: