13 April 2013

E-rokok galak perokok baru

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Manila: Rokok elektronik atau e-rokok yang dianggap pengganti ketagihan tembakau juga boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi perokok, menurut amaran Jabatan Kesihatan Filipina kepada penduduk.

E-rokok semakin menjadi pilihan di kalangan penduduk Filipina berikutan kenaikan cukai tembakau yang menyebabkan harga rokok di pasaran semakin mahal. 

Ketua Pengarah Pentadbiran Ubat dan Makanan, Kenneth Hartigan-Go, mempertikaikan dakwaan penjual bahawa rokok elektronik itu membantu perokok untuk membuang tabiat merokok. 

Tak takut bahaya rokok

“Secara sengaja atau tidak, rokok elektronik ini menggalakkan kanak-kanak dan remaja merokok. Ia menjadikan mereka kurang takut kepada bahaya dan risiko merokok.

“Orang ramai dinasihatkan tidak merokok sama sekali dan tidak menghisap rokok, cerut atau e-rokok,” katanya dalam notis kesihatan di laman web agensi terbabit.

Hampir seorang daripada setiap lima rakyat Filipina didapati merokok, lapor Jabatan Kesihatan. 
Satu undang-undang yang berkuatkuasa tahun ini akan menaikkan cukai rokok selama lima tahun, menggandakan harga rokok sedia ada sehingga 52 peso (RM3.80) sekotak menjelang 2017.

Satu bungkusan e-rokok di Filipina mengandungi pengewap berkuasa bateri yang mengeluarkan asap nikotin. 

AFP

Tiada ulasan: