13 April 2013

Saya dah lali dengan spekulasi jadi MB, kata Khaled Nordin

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


JOHOR BAHRU — “Masuk kali ini sudah tiga kali saya dikaitkan untuk menjadi menteri besar (Johor),” demikian rekasi bekas anggota Parlimen Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika diminta mengulas spekulasi beliau bakal dilantik menjadi Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU).

Mohamed Khaled, yang juga Menteri Pengajian Tinggi, berkata sejak dua penggal lepas, setiap kali menjelang pilihan raya umum, namanya sering menjadi bahan spekulasi.
“Apa yang saya tahu, setiap kali menjelang pilihan raya, nama saya akan menjadi bahan spekulasi... dah lali,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Jom Masuk U peringkat negeri Johor, di Persada Johor di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata beliau sendiri masih menunggu pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai senarai calon Barisan Nasional pada PRU13, 5 Mei ini.
Penyandang kawasan Parlimen Pasir Gudang sejak dua penggal lepas itu, disebut-sebut antara calon Menteri Besar menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman yang dikatakan akan bertanding di Gelang Patah menentang Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Antara kawasan Dewan Undangan Negeri yang dijangka ditandingi Mohamed Khaled ialah DUN Tiram atau Tanjung Puteri, malah ada yang menyebut DUN Permas walaupun DUN itu diperuntukkan kepada MIC sebelum ini. — Bernama

Tiada ulasan: