02 April 2013

Hamas lantik semula Khaled Meshaal sebagai ketua

21 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -




(Meshaal, kiri, berusaha untuk berdamai dengan pemimpin Fatah, Abbas tetapi dihalang oleh golongan konservatif di kedua-dua belah pihak [Gallo / Getty]


KAHERAH: Hamas telah melantik semula pemimpin veteran, Khaled Meshaal, di ibu kota Mesir, Kaherah, lapor dua pegawai Hamas.

"Para pemimpin Hamas memilih Meshaal," seorang pegawai berpangkat tinggi memberitahu agensi berita AFP melalui panggilan telefon dari Kaherah Isnin lalu, meminta nama beliau tidak didedahkan.

Pegawai-pegawai tersebut berkata majoriti anggota majlis Shura Hamas mengundi Meshaal. Mereka bercakap dengan syarat nama mereka tidak didedahkan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk membincangkan prosedur rahsia tersebut.

Meshaal, 56, yang mengetuai pergerakan Palestin tersebut sejak 1996 ketika dalam buangan, dilihat sebagai calon popular. Beliau disokong oleh kuasa serantau Qatar, Turki dan Mesir dan kini berpangkalan di Qatar.

Pemilihan semula beliau dapat memulihkan usaha perdamaian yang terhenti antara Hamas dan saingan politik beliau, Mahmoud Abbas, presiden Palestin yang disokong Barat yang berpangkalan di Ramallah, Tebing Barat.

Meshaal telah berusahak untuk usaha perdamaian, tetapi telah disekat oleh golongan konservatif Hamas di Gaza yang khuatir perjanjian perpaduan akan memberikan Abbas tapak baru di Gaza dan melemahkan cengkaman Hamas di wilayah berkenaan.

Tahun lepas, Meshaal dan Abbas, yang mempunyai hubungan yang baik, membuat satu perjanjian di mana Abbas akan mengetuai sebuah kerajaan interim teknokrat di Tebing Barat dan Gaza.

Kerajaan ini akan membuka jalan untuk pilihan raya umum. Walau bagaimanapun, perjanjian itu tidak berjaya dilaksanakan kerana mendapat tentangan dari pemimpin Hamas di Gaza dan tokoh-tokoh kanan dalam gerakan Fatah.

Minggu lepas, Emir Qatar mengutarakan satu cadangan untuk mengadakan persidangan perdamaian di Mesir dalam minggu-minggu mendatang untuk menubuhkan satu jadual waktu bagi membentuk kerajaan sementara dan mengadakan pilihan raya.

Ditanya mengenai persidangan tersebut Isnin lalu, Abbas kelihatan berbelah-bahagi. Bercakap di Ramallah, beliau berkata beliau akan menghadiri persidangan tersebut jika dijemput, tetapi, "pada dasarnya, tiada masalah antara kami sehingga memerlukan usaha-usaha sebegini".

harakahdaily/-

Tiada ulasan: