15 April 2013

Kesal guru diwajib hadir

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Kesal guru diwajib hadir
Kok Seong menunjukkan surat daripada Jabatan Pelajaran yang mengarahkan guru-guru SJKC di negeri ini hadir perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri di Johor Bahru, Selasa ini.
SEREMBAN – Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong kesal berikutan hampir 400 guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini diwajibkan menghadiri perjumpaan khas dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di Johor Bahru pada Selasa ini.

Menurutnya, beliau menerima aduan daripada beberapa guru yang memaklumkan mereka ‘diwajibkan’ hadir pada perjumpaan khas itu di SJKC Foon Yew 1, Johor Bahru.

“Selepas parlimen bubar, kerajaan sekarang adalah kerajaan sementara sahaja tetapi mengapa Muhyiddin sanggup mewajibkan guru-guru turun Johor Bahru yang amat jauh untuk bertemunya.

“Cuba bayangkan bukan guru-guru di Negeri Sembilan sahaja diwajibkan hadir, saya menjangkakan seramai 4,000 guru di seluruh negara dijemput hadir perjumpaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau khuatir perjumpaan tersebut akan menjejaskan pembelajaran murid-murid berikutan waktu persekolahan.

“Hari tersebut merupakan hari bekerja dan ia akan menjejaskan pelajaran murid-murid sekolah apabila guru diminta menghadiri perjumpaan tersebut.

“Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya menggunakan Jabatan Pelajaran untuk memaksa guru-guru hadir perjumpaan tersebut yang sebenarnya hanyalah ceramah BN sahaja.

“Jabatan Pelajaran telah dijadikan alat untuk BN berkempen. Saya amat tidak bersetuju dengan tindakan BN memperalatkan Jabatan Pelajaran,” katanya.

Kok Seong berkata, pihaknya berharap Timbalan Perdana Menteri dapat memberi penjelasan secara terbuka tujuan apa perjumpaan itu dilakukan.

“Saya melihat perjumpaan ini adalah untuk BN berkempen menarik undi golongan guru-guru pada Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13),” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: